Pelancongan domestik meningkat 12 peratus

Dr Mohd Uzir Mahidin
Dr Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelancongan domestik terus mencatatkan prestasi yang lebih baik tahun lepas dan berdasarkan laporan Akaun Satelit Pelancongan 2019, ia mencatatkan pertumbuhan dua digit 12 peratus kepada RM92.6 bilion.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, buat pertama kalinya sejak penyusunan Akaun Satelit Pelancongan pada tahun 2005, sumbangan perbelanjaan pelancongan domestik telah melebihi perbelanjaan pelancongan 'inbound' pada tahun 2019.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan sumbangan perbelanjaan pelancongan domestik terhadap penggunaan keseluruhan pelancongan telah meningkat kepada 50.9 peratus daripada 48.6 peratus pada tahun sebelumnya.

“Prestasi yang baik ini disokong oleh aktiviti membeli-belah yang merupakan komponen terbesar dengan sumbangan 42.1 peratus, diikuti oleh pembelian bahan api kenderaan (16.7 peratus) dan makanan dan minuman (15.9 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata perkembangan ini menggambarkan rakyat Malaysia semakin gemar melancong di dalam negara serta berbelanja untuk produk pelancongan tempatan.

“Trend ini juga dapat dilihat dalam tahun 2020 dengan segmen pelancongan domestik kembali rancak berikutan penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan menyebabkan penutupan pintu sempadan antarabangsa oleh kerajaan bagi semua aktiviti pelancongan,” katanya.

Sementara itu, perbelanjaan pelancongan inbound telah meningkat kepada RM89.6 bilion pada 2019 (2018: RM87.7 bilion) dengan pertumbuhan sebanyak 2.0 peratus berbanding 2.3 peratus pada tahun 2018.

Ini selaras dengan peningkatan purata tempoh menginap dalam kalangan pelancong asing yang meningkat kepada 7.4 malam berbanding 6.5 malam pada tahun 2018.

Artikel Berkaitan:

“Sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi yang diukur melalui Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan (NDKIP) merekodkan sumbangan 15.9 peratus berbanding 15.2 peratus pada tahun 2018.

“NDKIP telah mencecah nilai RM240.2 bilion berbanding RM220.4 bilion pada tahun sebelumnya dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 9.0 peratus (2018: 9.8 peratus),” katanya.

DOSM memaklumkan, sumbangan terbesar didominasi oleh perdagangan runcit (46.2 peratus), diikuti oleh makanan dan minuman (18.0 peratus) dan perkhidmatan khusus bercirikan pelancongan negara (12.3 peratus).

Mohd Uzir turut melaporkan bahawa guna tenaga dalam industri pelancongan pada tahun 2019 mengembang kepada 3.6 juta orang berbanding 3.5 juta pada tahun 2018 yang menyumbang 23.6 peratus kepada jumlah guna tenaga.

Sebahagian besar daripada guna tenaga dalam industri pelancongan adalah diterajui oleh perkhidmatan penyediaan makanan dan minuman dan perdagangan runcit dengan masing-masing menyumbang 34.7 peratus dan 32.5 peratus.

Mengulas mengenai situasi semasa wabak Covid-19, beliau berkata aktiviti pelancongan 'inbound' akan terhenti akibat penutupan sempadan antarabangsa dan sehubungan itu, perlunya untuk menggalakkan dan memanfaatkan aktiviti pelancongan domestik bagi meningkatkan sumbangan pelancongan kepada ekonomi serta mengekalkan trend pekerjaan di sektor ini untuk tahun 2020. - Bernama