X

Kindly register in order to view this article
!

MB Johor lega sidang DUN dijangka 'panas' berjalan lancar

Hasni semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Media Johor (KMJ) 2019/ 2020 di Hotel Holiday Villa di sini malam tadi.
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad lega dan berpuas hati apabila persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka 'panas' minggu lalu berjalan lancar termasuk semua usul dikemukakan dipersetujui pembangkang.

Beliau berkata, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memberikan kerjasama baik dan tidak berlaku sebarang kekecohan.

Menurutnya, DUN Johor berjaya meluluskan enam usul dikemukakan kerajaan antaranya Pakej Rangsangan Ekonomi, bajet tambahan, pelantikan jawatankuasa DUN dan pelantikan Ahli Dewan Negara.

"Saya tidak mempunyai masalah untuk menerima sebarang saranan dan teguran daripada wakil rakyat asalkan demi kepentingan rakyat Johor secara khususnya.

"Saya berharap kerjasama baik ini dapat dikekalkan pada masa akan datang," katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Media Johor (KMJ) 2019/ 2020 di Hotel Holiday Villa di sini malam tadi.

Turut hadir Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Mazlan Bujang; Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Samsolbari Jamal; Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Presiden KMJ, Mohd Fauzi Ishak.

Sebelum ini persidangan DUN pada 10 dan 13 September lalu itu dijangkakan berlaku kekecohan antaranya undi tidak percaya Pakatan Harapan (PH) terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Menteri Besar Johor.

Begitu juga spekulasi PN mahu mengemukakan usul tergempar pertukaran Speaker DUN, Suhaizan Kaiat.

Hasni berkata, dalam sidang DUN itu, kerajaan negeri juga bersetuju memberi rebat cukai tanah sehingga 15 peratus bagi mengurangkan beban ditanggung rakyat di negeri ini yang berdepan kenaikan cukai tanah.

"Kerajaan negeri akan memberi rebat 10 peratus pada tahun 2021, manakala lima peratus pula pada 2022 dan keistimewaan itu diberikan selepas kerajaan negeri menaikkan cukai tanah sehingga 40 peratus awal tahun ini.

"Walaupun sedar akan hilang hasil pada pendapatan negeri, kita terus berusaha untuk mencari hasil baharu dengan menerokai bidang lain untuk tambah pendapatan kerajaan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, takrifan golongan bawah B40 di Johor perlu dikaji semula kerana keadaan dan kos hidup di negeri ini berbeza dengan negeri lain, pihaknya percaya ramai layak menerima bantuan masih tercicir.

"Ramai yang tidak menerima bantuan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Ehsan Johor dan pada masa akan datang menerusi Program Digital Johor. Diharapkan mereka tidak tercicir lagi.

"Menerusi Program Digital Johor, datanya akan lebih meluas dan lengkap. Sebelum ini kita hanya bergantung dengan senarai dari pejabat daerah, Jabatan kebajikan Masyarakat dan penerima e-kasih," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!