Saman fitnah Dr Zakir: Ramasamy dibenar pinda penyataan pembelaan

Zakir Naik (kiri) dan Ramasamy
Zakir Naik (kiri) dan Ramasamy
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy untuk meminda penyataan pembelaan dalam saman fitnah dikemukakan penceramah bebas Dr Zakir Naik.

Saman itu difailkan pada Oktober tahun lalu atas dakwaan Ramasamy mengeluarkan kenyataan fitnah membabitkan pendakwah bebas itu, selain mengaitkannya dengan isu kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril membuat keputusan itu selepas peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Dr Zakir memaklumkan pihaknya tidak membantah permohonan Ramasamy untuk meminda penyataan pembelaannya.

"Dalam pengurusan kes sebelum ini yang ditetapkan pada 21 Julai, peguam mewakili defendan (Ramasamy) telah menyatakan hasrat untuk meminda penyataan pembelaan. Pihak kami telah meneliti bahagian yang ingin dipinda dan bersetuju dengan pindaan itu.

"Kami akan menjawab penyataan pembelaan terpinda dalam masa enam minggu," kata peguam itu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 Oktober untuk pengurusan kes.

Selepas prosiding, Akberdin memberitahu pemberita bahawa penyataan pembelaan yang dipinda membabitkan justifikasi dan perlindungan bersyarat.

Pada 16 Oktober 2019, Dr Zakir menyaman Ramasamy selaku defendan atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah mengaibkannya, yang dimuat naik di laman sosial dan portal berita antara 2016 dan 2019.

Artikel Berkaitan:

Pada Disember 2019, Dr Zakir sekali lagi menyaman Ramasamy selepas mendakwa defendan memfitnahnya melalui komen yang disiarkan dalam portal The Malaysian Insight berhubung isu LTTE.

Mahkamah sebelum ini menetapkan lima hari bermula 22 Mac 2021 untuk perbicaraan kedua-dua kes saman itu selepas membenarkan kes dibicarakan bersama.

- Bernama