Belum ada keperluan laksana sekatan jalan raya

Laporan Sinar Harian 10 September lalu.
Laporan Sinar Harian 10 September lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis melihat tiada keperluan buat masa ini untuk mengadakan sekatan jalan raya di bandar raya Alor Setar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di daerah Kota Setar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Nor Azman Mohd Noor yang dihubungi berkata, polis sentiasa mengadakan kawalan, rondaan dan pemantauan 24 jam setiap hari.

"Kita ada pasukan pemantau, unit ronda motosikal dan kereta peronda polis (MPV) yang bertugas setiap hari. Mereka ini akan membuat pemeriksaan kenderaan, individu serta premis termasuk memberi respons sekiranya berlakunya insiden lain.

"Kita turut mempunyai pusat kawalan daerah yang memantau aduan atau panggilan. Selain itu, operasi oleh bahagian trafik juga dilakukan bagi menertibkan pemandu supaya tidak melanggar peraturan jalan raya," katanya mengulas dakwaan beberapa pihak bahawa penduduk di dalam kawasan bandar masih bebas bergerak ketika pelaksanaan PKPD.

Setakat ini katanya sekatan tidak perlu dilaksanakan di dalam bandar kerana kawasan itu semakin lengang berikutan kesedaran masyarakat yang mematuhi arahan untuk terus kekal berada di rumah masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata setakat semalam, sebanyak 142 kompaun dikeluarkan kepada individu yang ingkar arahan dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) di kawasan PKPD itu.

"Kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Jumlah tangkapan buat masa ini masih sama iaitu dua orang yang melibatkan warga Rohingya yang ditahan ketika menunggang motosikal di Jalan Gunung Keriang," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: