Portfolio khas bukti komitmen kerajaan mengenai MA63

Bekas Ketua Bahagian Amanah Labuan Chemat Mustapha, (kiri) menyerahkan borang keahlian kepada Annuar Musa (tengah) dan Ketua Bahagian UMNO Labuan merangkap Pengerusi BN Labuan Senator Datuk Bashir Alias (kanan) di sini hari ini. - Foto Bernama
Bekas Ketua Bahagian Amanah Labuan Chemat Mustapha, (kiri) menyerahkan borang keahlian kepada Annuar Musa (tengah) dan Ketua Bahagian UMNO Labuan merangkap Pengerusi BN Labuan Senator Datuk Bashir Alias (kanan) di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Pembentukan portfolio khusus mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dalam Kabinet kerajaan pusat membuktikan komitmen pimpinan pusat dalam melindungi hak kedua-kedua negeri tersebut seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan pusat telah menerima isu-isu tertangguh dalam MA63 seperti disuarakan oleh Sabah dan Sarawak.

“Ini telah diterima oleh pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini adalah satu-satunya kerajaan yang mewujudkan portfolio Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di bawah tanggungjawab seorang menteri. Ini adalah komitmen kerajaan pusat untuk mendampingi perkara itu selaras dengan keperluan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Semangat MA63 telah diterima oleh kerajaan pusat menerusi penubuhan portfolio ini,” katanya kepada Bernama selepas menerima borang keahlian UMNO daripada 700 bekas ahli Parti Amanah Negara (Amanah) Labuan di sini, semalam.

Portfolio Hal Ehwal Sabah dan Sarawak menjadi tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dan timbalannya Datuk Hanifah Hajar Taib.

Annuar berkata, Kabinet juga memutuskan bahawa perdana menteri akan mempengerusi Majlis Khas Mengenai MA63 dengan anggota majlis yang boleh membantu kerajaan pusat meneliti semua aspek hak negeri Sabah dan Sarawak yang terkandung dalam perjanjian tersebut.

“Dari sini, dasar akan digubal untuk menempatkan Sabah dan Sarawak pada kedudukan yang lebih baik dalam peta pembangunan dan jalinan kerjasama baharu

Artikel Berkaitan:

“Itulah sebabnya mengapa kerajaan negeri Sarawak memberi komitmen yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan pusat dan mementang pakatan pembangkang.

“Oleh itu, kami berharap Sabah tidak akan ketinggalan daripada pendirian kerajaan negeri Sarawak. Berpolitik demi kepentingan peribadi, bersikap mempertahankan diri dalam usaha merebut jawatan ketua menteri akan hanya merugikan rakyat,” katanya.

Pada sambutan Hari Malaysia di Sibu, kelmarin, Muhyiddin mengumumkan penubuhan Majlis Khas Mengenai MA63 yang dipengerusikan oleh beliau dengan ketua menteri Sabah dan Sarawak antara anggota majlis berkenaan.

Annuar berkata, penubuhan majlis itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, 9 Sept lalu.

Beliau berkata, majlis khas itu akan membincangkan isu-isu berkait hak negeri Sabah dan Sarawak termasuk kedudukan kedua-dua negeri itu sebagai rakan sekutu, hak negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, MA63, keselamatan, pendidikan dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan.

Menurutnya, majlis tersebut akan dibantu oleh jawatankuasa sedia ada yang ditubuhkan di peringkat kementerian dan agensi persekutuan.

“Kerajaan PN sentiasa komited bagi memastikan hak-hak negeri Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam MA63 dilindungi,” katanya. - Bernama