Semangat baharu Perak Bison

Imbas kembali. Perak Bison meraikan kejayaan muncul juara STL Divisyen Premier musim lalu.
Imbas kembali. Perak Bison meraikan kejayaan muncul juara STL Divisyen Premier musim lalu.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PENYANDANG juara Liga Sepak Takraw (STL) Divisyen Premier, Perak Bison bertekad mempamerkan karakter sebenar apabila memulakan kempen mempertahan kejuaraan menentang juara Divisyen Satu, Selangor Pistons bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur malam ini.

Edy Yusman Abdul Manap
Edy Yusman Abdul Manap

Jurulatih Perak Bison, Edy Yusman Abdul Manap berkata, anak-anak buahnya cukup bersemangat untuk memberikan aksi terbaik berbekalkan persiapan mereka bagi menghadapi saingan STL musim ini.

“Alhamdulillah, pemain-pemain sudah bersedia dan mereka cukup cergas dari segi mental serta fizikal untuk berdepan dengan Selangor Pistons selepas menjalani latihan rapi selama seminggu di Manjung.

“Sebenarnya, kami pernah tewas 2-1 kepada Selangor Pistons pada aksi persahabatan baru-baru ini, namun ketika itu kami tidak menurunkan barisan terbaik kerana ada pemain yang beraksi dalam sirkit remaja.

“Jadi dalam aksi pembuka tirai STL kali ini boleh dikira sebagai misi balas dendam selepas kami memperbaiki segala kelemahan yang terdapat dalam pasukan semasa sesi latihan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pada masa sama, Edy Yusman mengingatkan Perak Bison tidak memandang rendah keupayaan setiap lawan mereka pada saingan STL kali ini yang akan berlangsung dalam suasana norma baharu.

“Saya mahu pemain-pemain membuka buku baharu tanpa memikirkan status penyandang juara atau sebaliknya kerana status tidak memberi sebarang kelebihan kepada kami.

Artikel Berkaitan:

“Mereka juga perlu memberikan sepenuh tumpuan semasa aksi di gelanggang dengan mengikuti segala perancangan dan strategi. Paling penting saya mahu pemain-pemain sentiasa enjoy supaya tidak tertekan pada situasi sukar,” katanya.

Ditanya mengenai aksi kali ini tanpa kehadiran penyokong, Edy Yusman berkata: “Saya melihat ada kelebihan, ada kekurangan yang mana kelebihannya dari segi psikologi pemain tidak berada dalam tekanan.

“Kekurangannya pula adalah tiada sokongan daripada penyokong untuk menaikkan semangat pemain. Selain itu, aura pertandingan sebenar tidak akan meresapi jiwa pemain kerana apabila tiada penonton seperti beraksi dalam studio sahaja,” katanya.