Pak cik Reiwa kena ramaikan rakyat Jepun

Perdana Menteri baharu Jepun,Yoshihide Suga dipilih menerusi undian di Dewan Perwakilan Jepun pada Rabu lalu. - Foto AFP
Perdana Menteri baharu Jepun,Yoshihide Suga dipilih menerusi undian di Dewan Perwakilan Jepun pada Rabu lalu. - Foto AFP
A
A
A

PERDANA Menteri baharu Jepun, Yoshihide Suga yang tidak begitu dikenali sebelum ini, namun berjaya terpilih menggantikan Shinzo Abe berdepan dengan satu siri cabaran besar dalam mengendalikan negara ekonomi ketiga terbesar dunia itu.

Suga ialah anak petani strawberi manakala ibunya seorang guru perlu menangani masalah ekonomi, pandemik koronavirus (Covid-19), Sukan Olimpik yang terpaksa ditunda dan isu kemerosotan bilangan penduduk di negara Matahari Terbit itu.

Bekas Ketua Setiausaha Kabinet yang juga jurucakap kerajaan Jepun ketika berada di bawah pemerintahan Abe, dia bukan berasal daripada keluarga elit politik seperti bekas Perdana Menteri Jepun lain dan dikatakan kurang kemahiran berpidato dalam politik.

Bagaimanapun, dia dipilih sebagai ketua Parti Liberal Demokratik (LDP) dengan memenangi 377 undi daripada 534 undi bagi menggantikan Abe yang berumur 65 tahun pada Isnin lalu sebelum sekali lagi dipilih sebagai Perdana Menteri negara itu pada Rabu lalu kerana LDP mempunyai majoriti undi di dewan rendah parlimen.

Suga yang berumur 71 tahun dan pernah bekerja di kilang bagi membiayai yuran pengajian ketika belajar di universiti menerima 324 undi di dalam Dewan Perwakilan yang mengandungi 465 kerusi dan 142 undi dalam Dewan Kaunselor.

Dia ialah Perdana Menteri tertua di Jepun selepas Kiici Miyazawa yang dipilih memegang jawatan itu pada tahun 1991 ketika berusia 72 tahun.

Walaupun sudah berusia, Perdana Menteri itu mendakwa dia masih mampu melakukan senaman sit up sebanyak 100 kali pada setiap pagi dan berjalan kaki selama 40 minit serta terkenal dengan etika kerjanya yang keras.

Tempoh pemerintahannya sebagai Perdana Menteri adalah singkat kerana anggota-anggota Dewan Perwakilan Jepun akan menamatkan tugas mereka pada Oktober tahun depan sebelum pilihan raya baharu dijadualkan berlangsung.

Artikel Berkaitan:

Ekonomi Jepun kini mengalami kemelesetan sejak tahun lalu sebelum penularan pandemik koronavirus melanda seluruh dunia. - Foto AFP
Ekonomi Jepun kini mengalami kemelesetan sejak tahun lalu sebelum penularan pandemik koronavirus melanda seluruh dunia. - Foto AFP

Justeru, ketika ditanya oleh pemberita sama ada dia merancang untuk mengadakan pilihan raya bagi mendapatkan mandat rakyat, Suga baru-baru ini berkata, ia akan mengambil kira penggal tempoh perkhidmatan anggota-anggota dewan tersebut sebelum membuat sebarang keputusan.

Dikenali dengan gelaran sebagai 'Pak cik Reiwa' kerana dia yang berkhidmat selama lapan tahun sebagai Ketua Setiausaha Kabinet diberikan tugas mencari nama sesuai untuk era pemerintahan Maharaja Naruhito pada tahun 2019 bagi menggantikan Maharaja Akihito yang turun takhta.

Suga kemudian memilih nama Reiwa yang bermaksud 'cantik dan harmoni' menyebabkan dia terkenal dengan gelaran tersebut.

Berpendidikan Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Hosei, dia dipilih menaiki tangga dalam kerjaya politik sebagai pembantu anggota dewan perwakilan, Hikosaburo Okonogi pada tahun 1975 sebelum dipilih sebagai ahli Perhimpunan Perbandaran Yokohama dan wakil rakyat di Dewan Perwakilan pada tahun 1996.

Ketika mengumumkan percubaannya untuk menduduki Ketua LDP baru-baru ini, Suga berkata, dia akan meneruskan dasar ekonomi Abe dikenali dengan nama Abenomic bagi membina pembaharuan struktur, merangsang fiskal dan dasar kewangan yang 'melegakan'.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa penerus legasi Abenomics?

Dasar Abenomic meningkatkan harga-harga saham dan pendapatan syarikat, namun pendapatan individu tidak meningkat dan tidak menyediakan sokongan mencukupi untuk golongan berpendapatan rendah, kata bekas menteri pertahanan, Shigeru Ishiba yang kalah kepada Suga untuk jawatan ketua LDP baru-baru ini.

Cabaran yang perlu dihadapi oleh Suga ialah ekonomi ketiga terbesar dunia itu ialah Keluaran Dalam Negara Kasar menyusut 7.8 peratus dalam bulan April hingga Jun tahun ini.

Menurut portal berita BBC, Jepun mengalami pertumbuhan ekonomi yang rendah sebelum pandemik Covid-19 bermula. Kemelesetan ekonomi Jepun bermula lewat tahun 2019 apabila cukai jualan ditingkatkan.

Penghantaran barangan melalui kapal di Jepun merosot 14.8 peratus dari tahun ke tahun berbanding kejatuhan 19.2 peratus pada Julai lalu, kata Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Hampir 550 syarikat di Jepun dikatakan memfailkan untuk menjadi muflis sekali gus menyebabkan Pengerusi Persekutuan Perniagaan Jepun, Hiroaki Nakanishi berkata kepada akhbar The Mainichi, "Saya berharap Suga akan meneroka ekonomi baharu dan masyarakat dalam era selepas koronavirus."

Bilangan penduduk Jepun kini semakin berkurangan berbanding pada tahun lalu. - Foto AFP
Bilangan penduduk Jepun kini semakin berkurangan berbanding pada tahun lalu. - Foto AFP

Kadar kelahiran tahunan yang diumumkan kerajaan pada Ogos lalu adalah rendah iaitu sekitar 866,908 bayi manakala penduduk Jepun pula ialah 124,271,318 orang pada 1 Januari lalu dan ia menyusut 505,046 orang berbanding tahun lalu.

Bagaimanapun, kadar kelahiran yang rendah itu juga dipercayai berpunca daripada tindakan melakukan pengguguran yang tidak lagi dianggap sebagai tidak sah di sisi undang-undang berdasarkan kepada situasi khas di negara tersebut.

Penangguhan Sukan Olimpik di Tokyo yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini kepada tahun depan ekoran Covid-19 juga diadakan ketika kedudukan ekonomi Jepun berada dalam keadaan yang sukar dan menjadi cabaran besar Suga. - Agensi