Apabila umat Islam dikhianati

Umat Islam terus diperkosa, dihina, diperalat dan diperkuda serta dizalimi sehingga hilang daya kepimpinan untuk meneraju dunia jauh sekali menentukan order dunia. Gambar hiasan. - Foto 123RF
Umat Islam terus diperkosa, dihina, diperalat dan diperkuda serta dizalimi sehingga hilang daya kepimpinan untuk meneraju dunia jauh sekali menentukan order dunia. Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

MELIHAT kepada kondisi umat Islam yang semakin tenat, tidak dapat dihindarkan daripada mengakui bahawa nyawa umat sedang bergelut di hujung tanduk.

Memang benar umat sedang mengalami ciri terpenggun dengan kuantiti, tetapi melutut dari segi kualiti. Ciri kaghu saa issail (bagaikan buih) nampaknya sedang menjadi ciri umat.

Natijahnya umat terus diperkosa, dihina, diperalat dan diperkuda serta dizalimi sehingga hilang daya kepimpinan untuk meneraju dunia jauh sekali menentukan order dunia.

Kemelut paling berat ialah perpecahan umat dalam senario yang sangat mengkhuatirkan. Perpecahan politik dan kepincangan kepimpinan menjadi paling merunsingkan.

Hampir tidak ada titik temu bila satu parti politik bertelagah dengan lawan. Khianat menjadi lazim dalam kepimpinan politik.

Politik daripada organisasi antarabangsa seperti OIC hingga kepada persatuan akar umbi, politik menjadi alat perpecahan kerana masing-masing ghairah mengejar kuasa.

Tidak kurang parah ialah perpecahan golongan agamawan. Dengan alasan masing-masing, umat diheret dalam khilaf yang berpanjangan sehingga umat dilagakan dengan sangat tajam.

Lewat kuliah dan ceramah mereka melampias hujah menyerang agamawan yang lain, lalu mengheret pengikut bertelagah sehingga pecah ke peringkat sesama anggota keluarga.

Artikel Berkaitan:

Kebencian

Umat juga tersepit dengan pertelagahan antara ideologi dan fahaman pemimpin masing-masing. Malangnya umat diperkuda oleh fahaman ideologi yang tajam.

Perpecahan ideologi membawa negara Islam bertembung dengan negara lain. Walhasil, seluruh sumber negara disalurkan kepada industri persenjataan lalu semua persengketaan berakhir dengan peperangan dan kemusnahan.

Persempadanan negara menjadi pokok konflik bukan sahaja di darat malah juga di laut dan di angkasa lepas.

Tidak cukup dengan keadaan yang parah itu, perpecahan nasionalisme perkauman dipanaskan sehingga persaudaraan Islam diketepikan.

Lalu sentimen xenofobia (benci pendatang) dibakar dalam kalangan masyarakat. Lalu muncul kebencian meluap-luap hanya kerana berlainan kaum dan berbeza warganegara.

Dalam keadaan perpecahan ini, akibatnya hegemoni kuasa luar ke atas negara umat Islam dicatur dengan agresif.

Akhirnya umat menjadi mangsa kepada kuasa luar sehingga hilang kedaulatan tanah air sendiri.

Malang sekali perpecahan kerana fanatik kelompok turut memeriahkan lagi keretakan umat.

Perpecahan akibat feudalisme (patuh membuta tuli) seharusnya menyedarkan umat agar lebih berhati-hati ketika bermatian mempertahankan seorang pemimpin atau kelompok sendiri.

Untuk merumitkan lagi perpecahan, umat disalut faham sekularisme dalam agama yang menyebabkan umat Islam dipisahkan daripada Islam yang syumul.

Dalam keadaan kritikal inilah kita menyaksikan kebobrokan penguasa negara umat Islam yang mendakwa mereka pemimpin ummah.

Sejak para penguasa 57 buah negara anggota dalam OIC bertempur sesama sendiri, realiti umat yang kita saksi kini sangat mengecewakan.

Semua ini berlaku sudah puluhan tahun. Umat tersepit dan terpecah. Natijahnya sungguh parah.

Jelas, perpecahan adalah ibu segala punca umat berada dalam keadaan gawat dan tenat. Perpecahan adalah barah ummah yang kini berada di paras empat.

Umat yang nazak parah, gersang kepimpinan pemersatu, sarat dengan penyakit merebut kuasa. Harga yang terpaksa dibayar umat sangat mahal.

Lebih 60 peratus pelarian dunia adalah umat Islam, kebuluran paling kritikal adalah di negara Islam, amalan rasuah paling besar dikenal pasti di negara umat Islam, pembelian senjata untuk perang sesama Muslim paling tinggi adalah negara Islam.

Bilangan umat sebesar 1.8 bilion orang tidak menjadi kekuatan. Populasi sejumlah itu terbeban dengan masalah yang dari sekritikal kebuluran hingga kepada separah peperangan yang memangsakan jutaan warga Muslimin.

Merawat kondisi ini sangat rumit. Keadaan sedemikian kritikal memerlukan anjakan umat berskala besar.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu