Laungan ‘bantu rakyat, demi rakyat’ bergema lagi

Pemandangan perang bendera antara parti-parti politik yang bertanding seperti BN, PN, Warisan Plus, Parti Cinta Sabah di Keningau. Gambar hiasan.
Pemandangan perang bendera antara parti-parti politik yang bertanding seperti BN, PN, Warisan Plus, Parti Cinta Sabah di Keningau. Gambar hiasan.
A
A
A

SETIAP kali pilihan raya, laungan perkataan ‘bantu rakyat, demi rakyat’ akan bergema di segenap kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Pelaungnya tidak lain lagi adalah orang politik ataupun calon parti bertanding yang menjadikan perkataan itu sebagai modal untuk meraih undi rakyat.

Sebahagiannya dilaungkan oleh orang lama, selebihnya pula oleh orang baharu yang sedang belajar menari di atas pentas politik.

Gema perkataan tersebut akan didengar berulang-ulang kali di mana-mana sahaja bermula daripada sebesar-besar pentas ceramah sehinggalah ke sekecil-kecil skrin telefon bimbit.

Menariknya, ia terus berulang lagi sehingga tujuh keturunan, tidak kira sama ada dalam Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) ataupun Pilihan Raya Kecil (PRK).

Bagaimanapun, tamat sahaja pilihan raya, laungan yang dilontarkan itu akan bertukar menjadi cacian seperti rakyat malas, tidak bersyukur dan luar bidang kuasa.

Janji yang ditabur untuk ‘hapus itu’ dan ‘bina ini’ juga hilang entah ke mana. Tinggallah rakyat terkontang-kanting bergelut dengan masalah air kotor, kawasan perumahan banjir, pembuangan sampah haram dan bantuan tidak kunjung tiba.

Laungan sama juga sedang bergema di Sabah bermula dari kerusi N01 Banggi di Kudat sampailah ke N73 Sebatik di Kalabakan. Ia akan berlanjutan sehingga jam 12 malam pada 25 September ini.

Artikel Berkaitan:

Diharapkan laungan ‘bantu rakyat, demi rakyat’ itu seiring dengan visi calon bertanding di sana yang dilihat begitu bersungguh-sungguh untuk membantu dan menaik taraf hidup rakyat mereka yang berbilang kaum dan menganut pelbagai kepercayaan.

Diharapkan juga, parti yang memerintah nanti mengambil berat soal ‘bantu rakyat, demi rakyat’ yang dilaungkan iaitu dengan cara menghukum mana-mana calonnya yang gagal menjalankan tanggungjawab membantu rakyat.

Bak kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, parti itu akan menyingkirkan calon mereka yang gagal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat sesudah PRN Sabah nanti.