Pahang Mammoth selesa status bukan pilihan

Pahang Mammoth
Pahang Mammoth
A
A
A

PAHANG Mammoth menyifatkan status bukan pilihan memberi kelebihan pada penampilan sulung saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2020 Divisyen Premier yang bakal menyingkap tirai di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Menurut pengendali Pahang Mammoth, Mohd Hirman Omar, tampil dengan status bukan pilihan diharap dapat membantu Mammoth meraih kemenangan apabila bertemu Johor Tigris pada perlawanan pertama, Sabtu ini.

"Kami optimis senarai pemain ini mampu memberikan saingan kepada pasukan lain yang bertanding, walaupun sedar tentangan yang dihadapi sengit ekoran semua pasukan dibarisi pemain dan bekas pemain kebangsaan," katanya.

Pada saingan kali ini, Mammoth mengekalkan dua pemain lama, Iskandar Zulkarnain Salim, 27, yang juga bekas pemain kebangsaan selaku tekong, dan Muhammad Fakhrul Razi Ismail, 23, yang bermain di posisi apit kiri.

Mammoth turut membariskan empat muka baharu termasuk tiga bekas pemain kebangsaan iaitu Nor Yuslie Md Jusoh, 31, Mohd Kamal Alfiza Shafie, 27, dan Izurin Refin, 29, manakala seorang lagi ialah Muhamad Adli Abu Bakar, 28, yang pernah mewakili ATM Guardian.

Sementara itu, Pengurus Pahang Mammoth, Ahmad Fitri Ali menyasarkan kedudukan lima teratas memandangkan ini kali pertama bersaing di pentas tertinggi liga takraw negara selepas muncul naib juara Divisyen Satu tahun lalu.

"Selain itu, matlamat utama kami ialah mengelak daripada menjadi dua pasukan tercorot dalam 10 pasukan yang bertanding kerana tidak mahu kembali ke Divisyen Satu setelah berjaya meninggalkannya (Divisyen Satu).

"Kejayaan bertanding dalam STL tahun ini juga menjadi peluang kepada kami untuk mencipta dan mengukuhkan nama sebagai salah satu pasukan sepak takraw digeruni di negara ini," katanya.

Artikel Berkaitan: