X

Kindly register in order to view this article
!

Ahli perniagaan diburu Amerika Syarikat diberkas di Perak

Seorang ahli perniagaan dan seorang juru analisa komputer yang disyaki melakukan pengubahan wang haram dan jenayah komputer ditahan di Perak, Isnin lalu. Gambar kecil: Huzir Mohamed
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan dan seorang juru analisa komputer yang disyaki melakukan pengubahan wang haram dan jenayah komputer ditahan di Perak, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, sepasukan anggota polis Bahagian D12 National Central Bureau (NCB) /Interpol, Bahagian D14 Jenayah Terancang, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Komersial Bukit Aman memberkas dua lelaki itu pada jam 8.45 pagi.

"Suspek berusia 30an dan 40an itu dikehendaki oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat kerana disyaki melakukan pengubahan wang haram dan jenayah komputer di negara tersebut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Padah godam komputer, dua rakyat Malaysia didakwa di AS

Huzir berkata, pihak berkuasa Amerika Syarikat menghantar permohonan pada 3 September lalu terhadap kedua-dua suspek.

"Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk melaksanakan permohonan itu dengan peruntukan di bawah Akta Ekstradisi 1992 serta Triti Ekstradisi di antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat," katanya.

Menurutnya, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran pemberkasan sementara (provisional warrant of arrest) ke atas kedua-dua suspek.

"Permohonan reman dibenarkan oleh Mahkamah Majistret selama 60 hari di bawah Seksyen 16(1) Akta Ekstradisi 1992 serta Artikel 11(4) Triti Ekstradisi di antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat," katanya.

Huzir berkata, suspek kini direman di Penjara Sungai Buloh.

"Kedua-dua suspek menjalankan perniagaan artifak permainan kit dan kredit secara tidak sah.

"Pihak forensik membuat rampasan terhadap bahan bukti dan dokumen berkaitan di syarikat milik mereka," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!