FAM tunggu keputusan FIFA

Sumareh (tengah) membuat keputusan mengejut meninggalkan Pahang untuk menyertai kelab Thailand, Police Tero FC.
Sumareh (tengah) membuat keputusan mengejut meninggalkan Pahang untuk menyertai kelab Thailand, Police Tero FC.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya menanti keputusan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FFA) sebelum mengambil langkah seterusnya dalam menyelesaikan kemelut antara Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dan Mohamadou Sumareh.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, sebarang tindakan mahupun hukuman di peringkat domestik hanya akan dibuat selepas FIFA mengeluarkan keputusan berhubung laporan Sumareh terhadap PBNP sebelum ini.

Seperti kes melibatkan perpindahan kontroversi bekas pemain Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid ke Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2018, Stuart menegaskan, badan induk bola sepak negara itu tidak mengambil pendekatan berdiam diri dalam isu tersebut.

"FAM dalam kedudukan bersedia menunggu keputusan yang bakal dikeluarkan FIFA sama ada mereka mendengar laporan Sumareh itu ataupun tidak, atau mereka tolak semula laporan itu kepada FAM. Kalau kes itu sudah dalam proses FIFA kita hanya boleh tunggu sampai ia berakhir.

"Soal FIFA nak ambil atau tidak kes itu bergantung sebab kebiasaannya hanya pemain asing boleh bawa kes ke FIFA dan bila melibatkan pemain tempatan prosesnya dalam negara. Dalam konteks Sumareh, beliau didaftarkan sebagai pemain tempatan," katanya kepada Bernama hari ini.

Sumareh, 25, sah memperoleh kewarganegaraan Malaysia yang membolehkan dia menyarung jersi skuad Harimau Malaya melalui proses naturalisasi pada 2018.

Mengulas lanjut, Stuart bagaimanapun tidak menolak kemungkinan FIFA akan tetap melihat laporan berkaitan masalah tunggakan gaji yang dibuat pemain kelahiran Gambia itu terhadap bekas majikannya, PBNP.

"FAM mesti tunggu sehingga FIFA habiskan proses itu baru FAM boleh ambil alih, itu pun kalau dapat kebenaran mereka. Kalau tidak, mungkin FIFA klasifikasikan ia sebagai kes istimewa yang mereka ingin juga dengar," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Stuart berkata, setakat ini, FAM tidak dimaklumkan mengenai bila keputusan sama ada FIFA menerima atau menolak pendengaran kes itu, akan dikeluarkan.

Sumareh melengkapkan perpindahan mengejut ke kelab Liga Thailand, Police Tero FC pada 7 September lalu, dalam tempoh dua minggu selepas jurulatih Pahang Dollah Salleh mendedahkan Sumareh tidak menjalani sesi latihan berpasukan selama sebulan, sejak awal Ogos lepas.

Sumareh yang mempunyai baki kontrak bersama Pahang sehingga 2022, turut tidak menghadiri beberapa aksi Liga Super melibatkan skuad Tok Gajah sebaik saingan Liga Malaysia bersambung pada 28 Ogos. - Bernama