MB Kedah bergurau, bukan persenda orang miskin

Muhammad Sanusi (kanan) ketika menjawab sendiri panggilan pemohon hotline PKOB Pejabat Daerah Kota Setar. - Foto UPDA
Muhammad Sanusi (kanan) ketika menjawab sendiri panggilan pemohon hotline PKOB Pejabat Daerah Kota Setar. - Foto UPDA
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor tidak berniat mempersendakan pemanggil hotline Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pejabat Daerah Kota Setar, ia hanya salah faham yang ditularkan apabila beliau ketawa sambil menjawab panggilan.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Mat Yakim berkata, Muhammad Sanusi hanya bergurau kerana pemanggil tidak mengetahui bahawa beliau sendiri yang mengambil aduan tersebut.

Menurutnya, reaksi spontan Muhammad Sanusi itu bukan disebabkan mentertawakan kisah kehidupan pemanggil, sebaliknya karakter beliau yang mudah mesra dan sering bergurau, namun disalah erti pihak tertentu.

“Menuduh beliau ketawa atas sebab kemiskinan si pemanggil, itu keterlaluan. Memang menjadi kebiasaan beliau untuk bergurau dengan sesiapa sahaja ketika berkomunikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad berkata, situasi itu mencuit hati apabila penyamaran yang dilakukan Muhammad Sanusi dengan berkata, ‘saya akan bagi tau Menteri Besaq’ tidak dapat dibendung dan mengundang ketawa kecil sehingga akhirnya beliau berterus terang mengenai dirinya yang sebenar.

Muhammad Sanusi (kiri) ketika meninjau operasi pusat hotline PKOB daerah Kota Setar susulan aduan orang ramai sukar menghubungi talian hotline terbabit. - Foto UPDA
Muhammad Sanusi (kiri) ketika meninjau operasi pusat hotline PKOB daerah Kota Setar susulan aduan orang ramai sukar menghubungi talian hotline terbabit. - Foto UPDA

“Bagi sesiapa yang mengenali sikap dan keperibadian Menteri Besar Kedah, itulah karakter beliau ketika berkomunikasi dengan orang ramai. Gemar bergurau dan tertawa, sikap beliau itu bukan dibuat-buat, ia antara pendekatan meredakan ketegangan dalam kita berdepan PKPD,” katanya.

Hari ini tular sebuah video perbualan Muhammad Sanusi dengan seorang pemanggil hotline PKOB daerah Kota Setar yang memohon bantuan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran.

Artikel Berkaitan:

Video berkenaan dimuat naik di sebuah portal media dengan tajuk ‘MB Kedah ketawakan orang miskin’ mengundang pelbagai reaksi netizen.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, Muhammad Sanusi amat menitikberatkan kebajikan orang miskin sehingga beliau melontarkan slogan mahu menjadikan Kedah ‘negeri tempat orang miskin berteduh, negeri tempat orang kaya berbakti’.

“Sebelum ini, banyak perhatian dan simpati diberikan terhadap orang miskin. Malah beliau sendiri pernah menitiskan air mata setiap kali bercakap mengenai kehidupan orang miskin, yang beliau lalui suatu masa dahulu,” katanya.

Tambahnya, sepatutnya usaha Muhammad Sanusi meninjau pusat hotline PKOB dan menjawab sendiri panggilan pemohon diberikan pujian, bukan isu remeh yang direka untuk memfitnah beliau.