Madius kekal TKM jika Warisan menang

Mohd Shafie (dua dari kiri) bersama Madius (dua dari kanan) dalam program beramah mesra bersama rakyat di Kampung Lokub, Kiulu, Tuaran hari ini.
Mohd Shafie (dua dari kiri) bersama Madius (dua dari kanan) dalam program beramah mesra bersama rakyat di Kampung Lokub, Kiulu, Tuaran hari ini.
A
A
A

TUARAN - Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal beri jaminan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau kekal sebagai Timbalan Ketua Menteri jika Warisan Plus menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini.

Katanya, sudah tiba masanya rakyat di Kiulu menggunakan mandat mereka sebagai penentu corak masa depan negeri ini.

"Bila kita (Warisan Plus) jadi pemerintah, saya akan beri jawatan Timbalan Ketua Menteri pada Madius.

"Dia pasti jadi Menteri, Timbalan Ketua Menteri," katanya ketika berucap pada program beramah mesra bersama rakyat di Kampung Lokub, Kiulu, hari ini.

Terdahulu, Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri turut menyeru supaya rakyat menolak parti dari Semenanjung dan memilih parti tempatan bagi memperjuangkan hak Sabah.

"Sekarang kuasa ada di tangan rakyat untuk mengundi siapa yang mereka mahu. Jangan ajar orang Sabah, apa kita mahu. Sudah berpuluh tahun pemimpin di Kuala Lumpur ajar apa kita mahu.

"Sekarang kita tunjuk pada mereka, rakyat Sabah tahu apa yang kita mahu," katanya.

Dalam majlis itu, Madius yang juga calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu menyerahkan Pelan Tindakan Pembangunan Strategik khusus untuk pembangunan di kawasan Kiulu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Madius, kajian itu adalah kerjasama beliau bersama Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) yang akan menjadi garis panduan bagi pelaksanaan pejabat daerah kecil Kiulu untuk beroperasi selepas diluluskan Kabinet pada Julai lalu.

"Ini membuktikan komitmen kerajaan Warisan Plus dalam memberikan pembangunan secara menyeluruh dan dalam masa yang sama memperjuangkan hak rakyat Sabah demi keharmonian bersama.