Pas lebih layak ketuai Muafakat Nasional berbanding UMNO

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kajian badan penyelidik QGenAnalysts (QGA) bertajuk analisis persepsi 'Parti Mana Layak Mengetuai Muafakat Nasional' mendapati 59 peratus responden Melayu memilih Pas untuk mengetuai Muafakat Nasional sementara 41 peratus memilih UMNO.

“59 peratus responden Melayu melihat Pas lebih layak mengetuai Muafakat Nasional atas faktor Pas mempunyai dasar yang konsisten dan jentera yang kukuh.

“Selebihnya 41 peratus memilih UMNO kerana kekuatannya memiliki pemimpin yang berpengalaman dan pencapaian pentadbiran yang baik,” kata badan penyelidik itu di Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, kajian turut mendapati sebab utama kaum Melayu meletakkan kepercayaan terhadap Muafakat Nasional kerana ia dilihat dapat memperkukuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera.

"Sokongan kaum bukan Melayu pula bersetuju dengan Muafakat Nasional kerana kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan manifesto mereka selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)," kata kenyataan itu.

Malah, kajian sama turut mendapati sikap kerajaan PH yang sering menimbulkan isu sensitiviti agama dan kaum menyebabkan penyokong PH bersetuju dengan agenda Muafakat Nasional.

Pada PRU lalu, Pas mempunyai 18 kerusi di Dewan Rakyat manakala UMNO menang 54 kerusi dalam pilihan raya berkenaan namun ia disifatkan sebagai pilihan raya bersejarah apabila BN tumbang.

Kerjasama UMNO dan Pas kemudiannya termeterai dalam Piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 14 September 2019.

Artikel Berkaitan: