PRN kali ini paling aneh dalam sejarah, kata Kit Siang

Hantaran Facebook Lim Kit Siang yang sedang menyampaikan ceramah ketika menyertai satu program sempena lawatannya ke Sabah.
Hantaran Facebook Lim Kit Siang yang sedang menyampaikan ceramah ketika menyertai satu program sempena lawatannya ke Sabah.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menyifatkan Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) kali ini sebagai pilihan raya paling aneh dalam sejarah negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, antara faktornya ialah PRN Sabah menyaksikan jumlah penyertaan calon yang tinggi bagi merebut hanya 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Satu kerusi menyaksikan pertembungan 11 dan 10 penjuru, tiga kerusi dengan pertembungan sembilan penjuru, lima kerusi dengan pertembungan lapan penjuru.

"13 kerusi (lagi) dengan pertembungan tujuh penjuru, 26 kerusi dengan pertembungan enam penjuru, dan 15 kerusi dengan pertembungan lima penjuru,” catat beliau di Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, keduanya ialah PRN itu menyaksikan penyertaan tertinggi daripada golongan 'katak politik' yang menantikan saat untuk menyerlah dan menawarkan diri mereka kepada mana-mana pembida tertinggi jika keputusan pilihan raya tidak memberikan majoriti jelas kepada mana-mana pihak untuk membentuk kerajaan negeri.

"Ketiga, kumpulan pembangkang yang tidak tersusun melawan (Parti Warisan Sabah) Warisan Plus yang mempunyai program yang jelas, bukan sahaja untuk memenangi majoriti daripada 73 kerusi ini, tetapi dua-pertiga daripada kesemua kerusi untuk menjamin kestabilan politik di Sabah," katanya.

Beliau juga berpandangan pembangkang di Sabah tidak mampu untuk membezakan di antara kawan dengan lawan, gagal untuk bersetuju dengan manifesto Aku Janji mereka, malah tidak dapat bersetuju mengenai calon Ketua Menteri.

"Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Datuk (Seri) Hajiji Noor untuk menjadi calon Ketua Menteri Sabah mereka tetapi UMNO dan Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak bersetuju.

Artikel Berkaitan:

"(Datuk Seri) Bung Moktar (Radin) daripada UMNO Sabah sendiri berharap menjadi calon Ketua Menteri mereka manakala PBS masih lagi berahsia mengenai calon Ketua Menteri mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan Perdana Menteri paling kuat berkempen berbanding dengan mana-mana pemimpin pembangkang yang lain.

Menurutnya, ia seakan-akan masa depan politik Muhyiddin bergantung kepada keputusan pilihan raya berkenaan sedangkan beliau tidak mempunyai impak yang besar.

"Kelima, isu yang telah dilupakan selama empat puluh ke lima puluh tahun telah dibangkitkan semula, seperti MA63 dan Batu Sumpah Keningau, di mana buat pertama kalinya dalam sejarah, seorang Perdana Menteri Malaysia memberi penghormatan terhadap Batu Sumpah Keningau ini.

"Namun, adakah Muhyiddin akan membawa intipati dan tiga janji-janji Batu Sumpah Keningau “ugama (agama) bebas dalam Sabah”, “tanah tanah dalam Sabah dikuasai oleh kerajaan Sabah” dan “adat istiadat anak rakyat Sabah dihormatkan dan dipelihara oleh kerajaan” ini ke dalam Parlimen bersama dengan satu usul mengisytiharkan pengiktirafan dan pengotaan janji-janji ini oleh pihak kerajaan?" Soalnya.

Tambahnya, pada PRN kali ini juga terdapat seorang ahli politik yang beraspirasi untuk menjadi Ketua Menteri Sabah.

"Sedangkan beliau sedang berhadapan dengan pelbagai tuduhan rasuah, di mahkamah yang sama dengan seorang pemimpin negara kita sedang memegang rekod berhadapan dengan jumlah tuduhan rasuah terbanyak, yang mempunyai moraliti yang boleh diringkaskan dengan tiga perkataan: “Malu Apa Bossku?”, 'Inilah Aku Janji sebenar pihak pembangkang Sabah'," katanya lagi.