Gaji saya RM97,000 sebulan: CEO 1MDB

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Saksi ke-10 berhubung kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bahawa beliau tiada alasan untuk menggelapkan dana syarikat berkenaan kerana gaji terakhir diterimanya selaku CEO di syarikat itu mencecah RM97,000 sebulan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman berkata, beliau turut menerima bonus 10 bulan gaji pada tahun terakhir dia bekerja.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, saksi pendakwaan berkenaan turut menegaskan, beliau juga tidak bersekongkol untuk melakukan jenayah dengan ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Mohamad Mustaffa: Adakah anda terlibat dengan konspirasi jenayah dengan Jho Low?

Mohd Hazem: Tidak.

Mohamad Mustaffa: Adakah anda pernah menggelapkan walau satu sen dari dana 1MDB?

Mohd Hazem: Tidak pernah.

Saksi yang berusia 48 tahun itu berkata, beliau tidak mengambil dana syarikat, sepanjang menjadi ketua pegawai operasi (COO) dan CEO 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selepas dilantik menjadi COO 1MDB bermula pada Ogos 2012, beliau menerima gaji sebanyak RM65,000 sebulan, kemudian ia meningkat kepada RM93,000 pada 15 Mac 2013, iaitu selepas dinaikkan pangkat kepada CEO.

“Gaji terakhir saya selaku CEO adalah sebanyak RM97,000 sebulan, iaitu sebelum saya meletakkan jawatan pada 5 Januari 2015 kemudian jawatan itu digantikan oleh Arul Kanda Kandasamy,” katanya dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Dalam kes itu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Najib diwakili barisan peguam diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Collin Lawrence Sequerah bersambung 5 Oktober depan.