Penduduk diarah kuarantin dakwa terputus bekalan makanan

Mohamad Yusrizal Yusoff
Mohamad Yusrizal Yusoff
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake) mendedahkan menerima aduan daripada penduduk yang perlu menjalani kuarantin mendakwa terputus bekalan makanan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Kota Setar.

Setiausaha Kehormat Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya dihubungi pengadu yang menyatakan bahawa dia seisi rumah telah membuat pemeriksaan koronavirus (Covid-19).

Katanya, disebabkan itu, pengadu perlu memakai gelang merah jambu dan dikehendaki menjalani kuarantin di rumah dan tidak dapat keluar membeli makanan.

"Kini, penduduk terlibat mendakwa telah kehabisan bekalan makanan selain pendapatan terjejas akibat tidak dapat keluar bekerja seperti biasa.

"Sehubungan itu, kita mencadangkan supaya kerajaan negeri mendapatkan data individu dikuarantin daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum menghubungi mereka dan menyalurkan bantuan makanan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Yusrizal berkata, golongan berkenaan perlu diberi bantuan memandangkan mereka ini adalah golongan yang benar-benar terjejas.

Katanya, Cake juga mendapat rungutan daripada masyarakat setempat yang tidak menerima bantuan makanan.

"Ada yang mendakwa terpaksa berhutang untuk mendapatkan bekalan makanan sekeluarga, sedangkan ada di antara mereka yang mempunyai rekod pernah mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan eKasih.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya mencadangkan supaya golongan ini diberi bantuan secara automatik.

Dalam perkembangan sama, katanya, Cake mengucapkan tahniah kepada keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu rakyat khususnya di kawasan PKPD Alor Setar yang terjejas melalui peruntukan RM1 juta untuk bantuan bekalan makanan.