700 bekas ahli Amanah sertai UMNO Labuan

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

LABUAN - Seramai 700 bekas ahli Parti Amanah Negara (Amanah) Labuan menyertai UMNO Labuan dan menyifatkan parti itu sebagai platform yang tepat untuk mereka meneruskan perjuangan politik demi kepentingan orang Melayu.

Kumpulan itu, yang diketuai bekas Ketua Bahagian Amanah Labuan Chemat Mustapha, menyerahkan borang keahlian kepada Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Bahagian UMNO Labuan merangkap Pengerusi BN Labuan Senator Datuk Bashir Alias di sebuah hotel di sini hari ini.

Annuar berkata, UMNO mengambil pendekatan mengalu-alukan penyertaan bekas ahli UMNO atau ahli mana-mana parti politik lain ke dalam UMNO.

“UMNO membuka luas pintunya kepada ahli mana-mana parti politik dan bekas ahlinya untuk menyertai atau menyertai semula parti itu namun cabaran kami yang lebih besar ketika ini ialah menyatukan orang Melayu dan komuniti Islam (kesatuan Melayu) tanpa menjejaskan pihak lain kerana perpaduan amat penting demi kestabilan politik di dalam negara.

“UMNO adalah sebuah parti politik yang mewakili kepentingan orang Melayu semata-mata dan bertanggungjawab menjaga keharmonian segenap lapisan masyarakat di negara ini demi kestabilan politik. Oleh itu, UMNO membuka pintunya kepada sesiapa sahaja yang berhasrat menyertai parti ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima borang keahlian kumpulan itu hari ini.

Chemat berkata penghijrahan beramai-ramai ke dalam UMNO sudah lama difikir dan dibincangkan ahli jawatankuasa di semua 25 cawangan Amanah Labuan.

“Kami harus berterima kasih kepada Tan Sri Annuar dan Datuk Bashir kerana menerima kami kembali dalam UMNO. Kami merasakan UMNO adalah parti yang tepat untuk menyatukan orang Melayu di Labuan manakala moto Demi Bangsa dan Negara akan terus menjadi panduan dalam perjuangan politik kami,” katanya.

Artikel Berkaitan: