Perbadanan Muzium Melaka mahu kawasan penemuan artifak ditutup

Akramuddin (kiri) melihat tembikar dan porselin berusia lebih 900 tahun yang berjaya ditemui di Melaka Raya, di sini, hari ini.
Akramuddin (kiri) melihat tembikar dan porselin berusia lebih 900 tahun yang berjaya ditemui di Melaka Raya, di sini, hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) akan memaklumkan penemuan artifak berusia lebih 900 tahun kepada kerajaan negeri bagi membolehkan kawasan kerja-kerja eskavasi dilakukan dalam masa terdekat.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, lokasi penemuan artifak itu merupakan tanah swasta dan pihaknya juga akan memanjangkan perkara itu kepada pemilik tanah supaya sebarang pembangunan tidak dilaksanakan sehingga kerja-kerja eskavasi oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) bersama penyelidik serta pengkaji sejarah selesai.

Menurutnya, beliau yakin kerajaan negeri positif untuk campur tangan dalam urusan ini dan bersedia memberikan kerjasama kepada JWN dan pihak yang terpenting dalam menjalankan kajian serta penyelidikan.

"Pengurusan PERZIM akan membuat surat kepada kerajaan negeri dan mencadangkan kawasan berkenaan ditutup serta merta kerana tidak mahu artifak itu diambil oleh mereka yang tidak berkaitan.

"Selain itu akan memaklumkan kepada polis untuk membuat rondaan yang ketat kerana ini merupakan nilai sejarah yang akan menceritakan memang wujud pelabuhan di Melaka pada suatu ketika dahulu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Artifak lebih 900 tahun ditemui di Melaka

Terdahulu, beberapa artifak lebih 900 tahun termasuk duit syiling dipercayai digunakan ketika abad 15 hingga 16,pada zaman pemerintahan Portugis dan Belanda ditemui di kawasan semak Paya Bakau diantara Pulau Melaka serta Melaka Raya.

Artikel Berkaitan:

Dionysius menunjukkan duit syiling Portugis dan Belanda yang ditemui di kawasan semak Paya Bakau di Melaka Raya, di sini, hari ini.
Dionysius menunjukkan duit syiling Portugis dan Belanda yang ditemui di kawasan semak Paya Bakau di Melaka Raya, di sini, hari ini.

Penemuan artifak seperti serpihan kayu kapal dan serpihan tembikar ditemui oleh orang awam yang datang memancing di kawasan berkenaan sejak dua tahun lalu.

Tambahnya, penemuan artifak itu memberi tafsiran bahawa Melaka pernah menjadi pusat perdagangan maritim yang terkenal dan terhebat pada abad itu.

"Jadi JWN mencadangkan supaya kerajaan negeri dapat mengambil tindakan menutup sementara kawasan ini bagi membolehkan kerja pencarian arkeologi di kawasan itu diteruskan," katanya.