Kenali dan fahami budaya pelbagai etnik

Barisan tetamu kenamaan termasuk Abdul Taib, Muhyiddin dan Saifuddin berdiri menyanyikan lagu Negaraku ketika upacara menaikkan Jalur Gemilang. -Foto: Ihsan JaPen
Barisan tetamu kenamaan termasuk Abdul Taib, Muhyiddin dan Saifuddin berdiri menyanyikan lagu Negaraku ketika upacara menaikkan Jalur Gemilang. -Foto: Ihsan JaPen
A
A
A

SIBU - Seluruh rakyat Malaysia digesa untuk mengenali dan memahami dengan mendalam mengenai budaya pelbagai etnik dalam negara seiring dengan sambutan Hari Malaysia 2020 yang ke-57 tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kefahaman yang lebih mendalam dalam kalangan orang ramai di Semenanjung, Sabah dan Sarawak berhubung kekayaan kebudayaan rakyat Malaysia wajar dipupuk.

Menurutnya, Hari Malaysia amat bermakna buat rakyat di negara ini kerana ia merupakan bukti kedaulatan, keharmonian dan kemakmuran sebuah negara yang dibangunkan oleh rakyat berbilang etnik, bahasa, budaya serta agama yang majoriti mahupun minoriti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Upacara menaikkan Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Malaysia 2020 di Stadium Tertutup Sibu malam tadi. -Foto: Ihsan JaPen
Upacara menaikkan Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Malaysia 2020 di Stadium Tertutup Sibu malam tadi. -Foto: Ihsan JaPen

"Kita tidak menjadikan kepelbagaian ini sebagai punca kelemahan, sebaliknya ia menjadi faktor kedaulatan, lalu kita hidup bersama dalam budaya damai dan berbakti pada ibu pertiwi," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi tayangan video pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2020 yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di Stadium Tertutup Sibu di sini malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar.

Menyentuh mengenai sambutan Hari Malaysia 2020 yang bertemakan #MalaysiaPrihatin itu, Saifuddin berkata, walaupun semangat sambutan kekal seperti sebelumnya, namun fokus kali ini sedikit berbeza.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semasa negara masih bergelut memerangi pandemik Covid-19, wira baharu muncul dalam bentuk petugas barisan hadapan yang terdiri daripada para doktor, jururawat, petugas hospital, polis, tentera dan media.

"Mereka berbakti, berkorban, malah ada yang terkorban. Kita amat berbangga dengan patriot kita.

"Patriot baharu itu juga terdiri daripada rakyat yang beri kerjasama baik di sisi kerajaan yang prihatin dalam menjaga kesihatan dan ekonomi negara," katanya.

Muhyiddin yang diiringi Saifuddin (belakang, dua dari kanan), Dr Abang Abdul Rahman (belakang, dua dari kiri) dan Aidi (kiri) menandatangani Buku Khas Hari Malaysia sempena Sambutan Hari Malaysia 2020 ke-57 Peringkat Kebangsaan di Stadium Tertutup Sibu malam tadi. -Foto: Ihsan JaPen
Muhyiddin yang diiringi Saifuddin (belakang, dua dari kanan), Dr Abang Abdul Rahman (belakang, dua dari kiri) dan Aidi (kiri) menandatangani Buku Khas Hari Malaysia sempena Sambutan Hari Malaysia 2020 ke-57 Peringkat Kebangsaan di Stadium Tertutup Sibu malam tadi. -Foto: Ihsan JaPen

Saifuddin berkata, walaupun pihaknya tidak dapat menganjurkan dan menyertai acara-acara yang besar tetapi beliau berbangga kerana dalam norma baharu kini, ramai rakyat yang berkongsi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan cara masing-masing di media sosial.

Sempena Sambutan Hari Malaysia itu, beberapa program sampingan turut diadakan selama dua hari bemula kelmarin yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama agensi di bawah Kerajaan Negeri Sarawak untuk menggalakkan penglibatan masyarakat setempat.

Antara program yang diadakan ialah Merdeka@Komuniti yang bertujuan menyantuni penghuni rumah panjang di Rumah Akat Ak Akong, Penasu, Sabah dan Program Info On Wheels (IOW) yang membabitkan pengedaran Jalur Gemilang serta risalah maklumat berkaitan kenegaraan di sekitar Bandong Walk dan Sibu Jaya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun adalah untuk mengingatkan bahawa pembentukan Malaysia tidak datang bergolek dalam sekelip mata, sebaliknya ia adalah hasil perjuangan rakyat dan pemimpin terdahulu yang mahu melihat lahirnya sebuah negara Malaysia yang merdeka serta bersatu-padu.

"Semenjak detik pembentukan Malaysia, kita telah berjaya menempuh liku-liku cabaran sehingga menjadi sebuah negara yang bebas, berdaulat dan berkemajuan pada hari ini.

"Justeru, menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia yang setia dan cintakan tanah air untuk terus mempertahankan keamanan, keharmonian dan kemajuan yang kita kecapi selama ini," katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau percaya majlis itu cukup bermakna untuk Sarawak kerana Negeri Bumi Kenyalang itu telah menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia buat kali kedua berturut-turut.

Muhyiddin menyampaikan amanatnya sempena Sambutan Hari Malaysia 2020 ke-57 Peringkat Kebangsaan di Stadium Tertutup Sibu malam tadi. -Foto: Ihsan JaPen
Muhyiddin menyampaikan amanatnya sempena Sambutan Hari Malaysia 2020 ke-57 Peringkat Kebangsaan di Stadium Tertutup Sibu malam tadi. -Foto: Ihsan JaPen

"Sambutan yang diadakan di bandar Sibu pada hari ini yang penduduknya terdiri dari pelbagai etnik, agama dan latar belakang sosial merupakan cerminan kepelbagaian rakyat Malaysia yang hidup secara aman dan harmoni di negara kita.

"Inilah lambang perpaduan rakyat Malaysia yang kita raikan pada hari ini. Sambutan Hari Malaysia pada malam ini merupakan kemuncak sambutan Bulan Kebangsaan yang telah saya lancarkan pada 28 Julai yang lalu," katanya.

Dalam perkembangan sama, Abang Abdul Rahman Zohari berkata, Malaysia yang dibentuk pada 1963 kini sudah berusia 57 tahun dan banyak perubahan dari segi sosio-politik negara sudah berlaku dalam tempoh itu.

Jelasnya, ia membawa impak sangat mendalam kepada iklim sosio-politik negara yang harus dilihat dalam perspektif yang positif kepada usaha berterusan untuk memperkasakan pembangunan negara.