APMM kesan MO baharu penyeludup laut

Mohd Zubil (tiga dari kanan) menerima bot pemintas daripada Timbalan Ketua Pengarah Eksekutif Muhibbah Engineering(M) Bhd, Mac Chung Jin di Port Dickson hari ini.
Mohd Zubil (tiga dari kanan) menerima bot pemintas daripada Timbalan Ketua Pengarah Eksekutif Muhibbah Engineering(M) Bhd, Mac Chung Jin di Port Dickson hari ini.
A
A
A

PORT DICKSON - Campak dan tinggal. Itu modus operandi (MO) yang menjadi trend kegiatan penyeludupan dadah menggunakan jalan laut yang dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, hasil risikan dan pemantauan pihaknya, taktik berkenaan digunakan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Kemungkinan penguatkuasaan di darat diperketatkan. Jadi mereka tiada pilihan dan rasa boleh bolos dengan menggunakan jalan laut.

"Modus operandi digunakan dengan mencampak dadah di tengah laut atau mengikatnya pada kelong, kemudian membuat tanda bagi memudahkan 'orang' datang ambil tanpa dikesan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bot Pemintas di sebuah hotel, di sini hari ini.

Selain itu katanya, sebanyak 190 tangkapan direkodkan pihaknya melibatkan nilai rampasan bernilai RM10 juta sejak Op Benteng dilancarkan 12 Mei lalu.

"Ia melibatkan pemeriksaan yang dilakukan terhadap 22,815 buah kapal sehingga bulan lalu.

"Tangkapan melibatkan kes berkaitan perikanan paling tinggi direkodkan iaitu 107 kes, tangkapan melibatkan pendatang asing tanpa izin (27 kes), penyeludupan (18 kes) dan lain-lain (38 kes)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bercakap mengenai majlis berkenaan beliau berkata, APMM menerima tujuh aset baharu iaitu bot pemintas bernilai RM6.3 juta bagi memperkukuhkan pengoperasian di sepanjang perairan Selat Melaka.

Menurutnya, Pasukan Tindakan Khas (PTK) akan menerima dua unit bot pemintas manakala Maritim Perak, Melaka dan Negeri Sembilan, Zon Maritim Kuala Kurau dan Zon Maritim Batu Pahat masing-masing satu unit.

"Zon Maritim Kuala Perlis pula bakal menerima satu unit bot pemintas pada awal Oktober ini.

"Keutamaan agihan bos pemintas ini diberikan kepada maritim negeri dan zon yang berdekatan dengan perairan negara jiran dan terdedah kepada ancaman aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan migran, dadah dan sebagainya," katanya.