Permohonan lucut hak RM700,000 milik UMNO Pekan ditolak

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini gagal dalam permohonan untuk melucut hak wang RM700,000 yang disita daripada akaun UMNO Bahagian Pekan yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini berikutan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menolak permohonan SPRM terhadap UMNO Bahagian Pekan sebagai responden pertama dan 40 individu lain.

Dalam penghakiman, Ahmad Shahrir berkata, mahkamah mendapati SPRM gagal membuktikan atas imbangan kebarangkalian seperti dituntut di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Prosiding melucut hak memerlukan kepatuhan yang ketat terhadap undang-undang kerana menyentuh jaminan perlembagaan mengikut Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

“Kekurangan sedikit pun tidak memadai. Oleh itu dalam situasi demikian, saya menolak permohonan ini,” katanya.

Ahmad Shahrir juga berkata, dalam semua kemungkinan seandainya mahkamah menerima pendirian pemohon bahawa wang disita pada 25 Jun 2018 adalah hasil daripada aktiviti haram tetapi pada hakikatnya baki akaun hanya sedikit lebih daripada RM10,000 setakat 31 Jan 2017, justeru menolak anggapan itu dengan berkesan.

“Lagipun tiada cubaan oleh pemohon untuk melepasi pencapaian spesifik ini oleh pihak responden dan saya terbatas untuk mendapati pemohon mengakui fakta tersebut.

“Oleh itu berdasarkan imbangan kebarangkalian, pemohon gagal membuktikan bahawa wang RM700,000 disita itu adalah hasil daripada aktiviti haram,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia bukan mengenai jumlah wang tersebut diterima daripada akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibelanjakan oleh UMNO Bahagian Pekan tetapi lebih penting kegagalan pemohon membuktikan wang yang dibekukan itu menjadi persoalan dalam akaun keempat seperti dibahaskan oleh responden.

“Ini dapat dilihat pada pemerhatian nombor akaun masing-masing untuk akaun pertama dan keempat,” katanya.

Ahmad Shahrir berkata, kesemua responden menyatakan jumlah RM700,000 telah digunakan untuk perbelanjaan utiliti, pembelian peralatan dan pembayaran lain untuk responden pertama dan baki dalam akaun responden pertama tidak berasal daripada akaun Najib yang dibekukan.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Abdul Rashid Sulaiman, ketika ditanya pemberita berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

UMNO Bahagian Pekan diwakili peguam Datuk M Reza Hassan. - Bernama