Pekerja landskap didenda RM3,500 tumbuk cermin kereta pemandu lain

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pekerja landskap dijatuhi hukuman denda RM3,500 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana melakukan khianat dengan menumbuk cermin kereta milik seorang pemandu lain di Plaza Tol Subang, dua hari lepas.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Hakim Fitri Abu Hassan, 37, selepas dia mengaku bersalah telah menumbuk cermin kereta jenis BMW milik Mohd Fikri Abdullah, 53, pada bahagian hadapan sebelah penumpang sehingga retak.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Plaza Tol Subang, Kelana Jaya, di sini pada 8.09 malam, 26 Januari lalu mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa yang sedang memandu dengan tiba-tiba telah dihalang keretanya secara melintang oleh kereta tertuduh yang kemudian telah keluar dari kereta dan bertindak menumbuk cermin bahagian hadapan sebelah penumpang milik mangsa.

Tertuduh terus melarikan diri namun perbuatannya itu berjaya dirakam mangsa di dalam telefon bimbitnya lalu membuat laporan polis dan tertuduh kemudiannya berjaya ditangkap berdasarkan rakaman video dan kawad cam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira faktor perbuatan tertuduh telah mengganggu ketenteraman awam.

"Tindakannya juga telah menghalang lalu lintas pada hari kejadian dan saya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal untuk memberi mesej kepada umum bahawa perbuatan ini adalah ditegah.

"Kerugian yang dialami mangsa juga adalah besar kira-kira RM7,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia telah berkahwin dan menanggung tiga orang anak. - Bernama