Bekas CEO 1MDB risau syarikat banyak hutang, mahu letak jawatan

Mohd Hazem Abdul Rahman - Foto Bernama
Mohd Hazem Abdul Rahman - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau risau kerana syarikat mempunyai hutang yang terlalu banyak selain curiga dengan kemampuan 1MDB membayar balik hutang berkenaan.

Mohd Hazem Abdul Rahman, 48, berkata, antara hutang yang perlu dibayar pada 2014 ialah pinjaman Maybank yang diperoleh bagi membeli saham Tanjong Power pada 2012, dan seingatnya hutang itu berjumlah kira-kira RM2.5 bilion.

“Banyak perbelanjaan 1MDB yang melibatkan dana pembiayaan projek seperti pembangunan infrastruktur TRX (Tun Razak Exchange) dan JIMAH (JIMAH Energy Ventures) semuanya dibiayai melalui hutang yang baharu.

“Pada masa yang sama, saya tidak tahu sama ada dana 1MDB di luar negara pada waktu itu masih ada ataupun sudah digunakan untuk keperluan UMNO seperti yang dimaklumkan kepada saya pada (peringkat) awal. Saya menganggarkan dana yang berada di luar negara berjumlah AS$3.8 bilion atau RM13 bilion.

“Wang sebanyak ini cukup untuk membayar hutang Maybank dan juga sebagai modal permulaan untuk apa-apa projek 1MDB dalam Malaysia,” katanya dalam pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Mohd Hazem yang berkhidmat sebagai CEO 1MDB dari Mac 2013 hingga Januari 2015 berkata, kebimbangan dan juga persoalan beliau tentang dana di luar negara itu bertambah memandangkan beliau tidak mempunyai akses kepada dana terbabit yang hanya diketahui oleh Jho Low dan peguam 1MDB Jasmine Loo.

Menurut saksi ke-10 pendakwaan itu, beliau juga kerap bertemu (Allahyarham) Datuk Azlin Alias, Ketua Setiausaha Sulit Najib ketika itu untuk meluahkan kebimbangannya selain menyatakan hasrat meletak jawatan dan tempat beliau digantikan dengan individu yang mampu menerajui 1MDB dalam keadaan hutang yang banyak.

“Saya juga ada menghantar e-mel kepada (Ketua Pegawai Kewangan 1MDB) Azmi Tahir berkenaan kebimbangan saya tentang ketidakmunasabahan pelan dan rancangan yang dibuat oleh Jho Low bagi 1MDB tersebut seawal September 2013.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga menyatakan hasrat saya untuk letak jawatan kepada Azmi Tahir. Saya sebagai CEO syarikat sepatutnya mempunyai kuasa penuh dalam mengawal keluar masuk dana dari luar negara ke dalam negara kerana kawalan dana syarikat terletak pada pihak pengurusan syarikat.

“Namun saya menerima arahan daripada Jho Low untuk tidak mengganggu dana luar negara ini,” katanya.

Saksi itu juga berkata, pihak pengurusan 1MDB berusaha menyiapkan prospektus bagi penyenaraian anak syarikat iaitu 1MDB Energy Group di Bursa Malaysia, namun rancangan berkenaan gagal susulan pelbagai halangan termasuk oleh laporan negatif media massa terhadap 1MDB yang menjejaskan keyakinan pelabur.

Selain itu, usaha tersebut juga tidak mendapat sokongan pelabur utama iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, katanya.

Mohd Hazem berkata, Allahyarham Azlin menasihatinya agar meletak jawatan selepas penyenaraian 1MDB Energy.

“Tetapi pada akhir bulan Oktober 2014, selepas saya balik daripada menunaikan haji, saya menyatakan secara serius tentang hasrat peletakan jawatan saya sebagai CEO 1MDB kepada Jho Low dan arwah Datuk Azlin Alias,” katanya.

Katanya, beliau turut meminta Allahyarham Azlin memberitahu Jho Low agar mencari calon untuk menggantikannya kerana semua pegawai yang bekerja di bawahnya tidak mahu menggantikan beliau atas sebab jawatan CEO itu banyak terdedah kepada unsur-unsur politik.

Saksi itu berkata pada 3 Januari 2015 selepas beliau kembali ke Malaysia daripada bercuti, Allahyarham Azlin memberitahu, mereka mempunyai calon untuk jawatan penolong CEO dan beliau diminta meneruskan tugas sebagai CEO hingga selesai penyenaraian Edra Energy (anak syarikat semua IPP di 1MDB) pada pertengahan 2015.

“Pada 5 Januari 2015 hari pertama bekerja pada tahun itu, Arul Kanda telah datang untuk melapor diri sebagai Presiden 1MDB yang bermaksud saya sebagai CEO akan lapor kepada beliau.

“Pada masa itu saya membuat keputusan bahawa inilah masa yang tepat untuk meletakkan jawatan sebagai CEO kerana portfolio jawatan presiden adalah sama sahaja dengan CEO,” katanya.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 5 Oktober. - Bernama