X

Kindly register in order to view this article
!

Purata gaji, upah bulanan 2019 meningkat

Mohd Uzir Mahidin
A
A

PUTRAJAYA - Purata gaji dan upah bulanan mencatatkan peningkatan daripada RM2,308 pada tahun 2018 kepada 5.8 peratus iaitu RM2,442 tahun lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataannya berkata, purata gaji dan upah bulanan meningkat daripada RM3,087 kepada RM3,224 (4.4 peratus) dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata, bilangan penerima gaji dan upah pula seramai 9.2 juta orang pada 2019 meningkat 5.0 peratus daripada 8.8 juta orang pada 2018.

"Peningkatan ini selari dengan prestasi ekonomi Malaysia yang merekodkan pertumbuhan 4.4 peratus pada harga semasa tahun lalu.

"Purata yang diterima oleh pekerja lelaki ialah RM2,477 dan pekerja perempuan RM2,370 masing-masing meningkat 5.8 peratus dan 6.4 peratus berbanding 2018," katanya.

Beliau berkata, purata gaji dan upah bulanan pekerja lelaki meningkat 4.1 peratus kepada RM3,304 dan pekerja perempuan meningkat 5.0 peratus kepada RM3,108 berbanding tahun sebelumnya.

"Nilai penengah dan purata gaji dan upah bulanan untuk pekerja berpendidikan tertiari kekal tinggi, tumbuh masing-masing pada kadar 6.9 peratus dan 2.0 peratus," katanya.

Mohd Uzir berkata, purata bagi pekerja di bandar meningkat kepada RM2,565 iaitu pada kadar 6.2 peratus berbanding pekerja di luar bandar meningkat kepada RM1,560 iaitu pada kadar 5.3 peratus.

"Sementara itu, purata gaji dan upah bulanan pula menunjukkan trend sebaliknya iaitu kadar perubahan peratusan di luar bandar lebih tinggi 6.0 peratus berbanding pekerja di kawasan bandar 4.0 peratus bagi tahun 2019," katanya.

Tambahnya, statistik gaji dan upah pada lalu tidak dipengaruhi oleh impak negatif iaitu pandemik Covid-19.

"Bagi tahun 2020, penularan wabak Covid-19 memberi kesan kepada gaji dan upah yang diterima pekerja terutama dalam beberapa industri termasuk perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal, pengangkutan dan penyimpanan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir Mahidin yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 memohon semua rakyat dapat memberi kerjasama dan komitmen terhadap Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia (Banci) 2020 yang telah dilaksanakan pada 7 Julai hingga 30 September 2020 melalui kaedah banci dalam talian (e-Census) manakala fasa kedua bermula pada 7 hingga 24 Oktober 2020 dengan menggunakan kaedah temuramah bersemuka.

"Semua penduduk Malaysia dijemput mengisi e-census dan maklumat lanjut berkaitan Banci 2020 boleh diperoleh melalui portal banci iaitu www.mycensus.gov.my," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!