Sharnaaz, Nabila capai kata sepakat

Noor Nabila (dua dari kiri) dan Sharnaaz (kanan) bersama peguam mereka ketika ditemui selepas selesai prosiding hari ini.
Noor Nabila (dua dari kiri) dan Sharnaaz (kanan) bersama peguam mereka ketika ditemui selepas selesai prosiding hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pergolakan rumah tangga antara pelakon popular Sharnaaz Ahmad dan bekas isterinya, Noor Nabila Mohd Noor akhirnya menemui noktah, selepas kedua-duanya bersetuju dengan tuntutan yang dimeterai dalam satu perjanjian penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini.

Tuntutan dibuat melalui satu surat yang ditandatangani kedua-dua belah pihak pada pagi ini adalah membabitkan tuntutan nafkah edah, hadanah (hak penjagaan) dan nusyuz yang dibacakan di hadapan, Hakim Syarie Mohamed Fauzi Mokhtar.

Melalui prosiding itu, peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Noor Nabila, 36, selaku plaintif mengemukakan bahawa pihak defendan iaitu Sharnaaz, 35, bersetuju untuk memberi nafkah edah sebanyak RM500 selama tiga bulan.

"Pihak defendan bersetuju untuk memberi nafkah anak RM1,200 sebulan termasuk defendan dibenarkan berjumpa anak mereka selain penarikan balik permohonan nusyuz difailkan defendan.

"Plaintif juga bersetuju untuk mengetepikan tuntutan mutaah melainkan sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dipindah milik kepada plaintif. Penjagaan anak turut diberikan kepada plaintif dan tuntutan nusyuz telah dibatalkan," katanya.

Sementara itu, Peguam Ummi Kartini Abd Latif yang mewakili Sharnaaz mengesahkan dan bersetuju dengan terma-terma dikemukakan dan dipersetujui.

Selepas terma-terma itu dibacakan, Hakim Syarie Mohamed Fauzi bertanyakan kepada Sharnaaz dan Noor Nabila adakah mereka bersetuju dengan perjanjian tersebut, kedua-duanya bersetuju dan menerimanya sukarela termasuk tiada paksaan daripada mana-mana pihak.

Sementara itu, Noor Nabila ketika ditemui selepas prosiding itu melahirkan rasa lega kerana dia dan Sharnaaz tidak perlu lagi datang ke mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdullilah semuanya selesai dan hari ini adalah hari saya datang ke mahkamah dan segalanya dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Sharnaaz juga, ketika ditemui selepas prosiding berkata, dia bersyukur kerana kes ini akhirnya selesai selepas kedua-dua peguam berbincang dan bersepakat menyelesaikan kes.

"Saya dan Nabila, keutamaan kami adalah Jebat. Walaupun kami tidak boleh meneruskan hubungan sebagai suami isteri, tapi kami masih berkawan," katanya.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor dan bercerai pada 9 Julai lalu melalui hakam.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Jebat Jayden yang kini berusia dua tahun.