Ceroboh, lintas trek LRT, pekerja kilang didenda

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pekerja kilang warganegara India yang menceroboh dan melintas trek kereta api Transit Aliran Ringan (LRT) kerana terlambat ke tempat kerja hari ini dijatuhi hukuman denda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Jaswinder Singh, 19, selepas dia mengaku bersalah menceroboh dan turun melintas trek dari Platform 2 ke arah Platform 1 di Stesen LRT Taman Paramount di sini pada 4.51 petang, 20 Januari lepas.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya denda gagal dibayar. Tertuduh membayar denda itu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 62 Akta Keretapi 1991 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Datuk Suraj Singh merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya melakukan perbuatan itu kerana dia telah lambat ke tempat kerja dan tertuduh juga telah insaf atas kesalahannya.

Di mahkamah sama, ibu tunggal, Nazipah Ab Aziz, 38, dihukum penjara tiga hari dan didenda RM1,500 selepas mengaku bersalah mencuri enam kotak coklat, empat unit minyak wangi dan dua botol losyen milik pasar raya Giant Sri Manja yang bernilai keseluruhan RM241.59 pada 9 malam, 25 Januari lepas.

Mahkamah turut memerintahkan ibu empat anak itu menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya denda gagal dibayar.

Pendakwaan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya hendaklah dihukum penjara dengan denda atau sebat.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Alia Sumayyah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menghidap penyakit asma.

Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan pengawal keselamatan di pasar raya tersebut telah melihat tertuduh dalam keadaan mencurigakan sedang memasukkan beberapa barangan ke dalam bakul sebelum menuju ke kaunter pembayaran.

Setelah pembayaran dilakukan, pengadu telah pergi ke arah tertuduh dan meminta wanita itu mengemukakan bukti pembayaran.

Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh hanya membuat pembayaran bagi beberapa barangan dan tidak membayar sejumlah lagi barangan lain yang telah diambil.