X

Kindly register in order to view this article
!

Pembangunan negara boleh terbantut jika tidak dibanci

Dr Mohd Uzir Mahidin
A
A

SHAH ALAM - Perancangan pembangunan negara mungkin terbantut sekiranya masyarakat masih alpa terhadap tanggungjawab mereka dalam mengisi maklumat Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bancian penduduk yang dilakukan setiap 10 tahun sejak tahun 1970 itu memainkan peranan penting kepada kerajaan dalam menyediakan prasarana dan kemudahan kepada rakyat.

“Buat masa ini ramai yang tidak tahu mengenai keperluan bancian ini sedangkan ia akan memberi kesan segera terhadap kehidupan seharian mereka khususnya melibatkan kemudahan ataupun keperluan yang bakal disediakan oleh kerajaan.

“Kerajaan memerlukan data bancian ini untuk mencorakkan kehidupan rakyat yang lebih baik. Jadi data-data ini akan digunakan untuk mengurangkan jurang kemudahan antara bandar, menyediakan peluang-peluang pekerjaan dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 berkata, semua keperluan kehidupan berpandukan bancian jumlah penduduk termasuklah dalam aspek menyediakan bekalan sekuriti makanan negara.

Menurutnya, melalui data bancian itu juga kerajaan dapat mengawal kenaikan harga barang dan sebagainya.

“Jika orang ramai tidak memberi kerjasama dengan baik dalam hal ini maka akan berlaku ketidakcekapan dalam menyediakan kemudahan asas, menentukan sekuriti makanan negara dan menyediakan peluang pekerjaan seterusnya akan memberi kesan kepada ekonomi rakyat.

“Kita mengharapkan orang ramai sedar akan tanggungjawab mereka dalam mencorakkan pembangunan negara pada masa akan datang dengan melengkapkan bancian mereka sama ada menerusi e-Census atau bancian secara bersemuka yang akan bermula bulan depan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, sehingga semalam seramai 1.5 juta penduduk telah mengisi maklumat Banci 2020 melalui e-Census sejak ia dimulakan pada 7 Julai lalu.

Katanya, jumlah itu bagaimanapun masih jauh daripada sasaran sebenar yang ditetapkan dengan 30 peratus daripada 32.7 juta rakyat Malaysia menjelang tarikh tutup pada 30 September 2020 nanti.

“Daripada jumlah itu tujuh negeri mencatatkan peratusan melebihi lima peratus iaitu Putrajaya, Perak, Johor, Pulau Pinang, Perlis, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Enam lagi negeri melibatkan Kelantan, Sabah, Terengganu, Kedah, Pahang dan Sarawak hanya mencatatkan peratusan di bawah 3.5 peratus,” katanya.

Projek bancian yang memasuki edisi keenam itu membabitkan kira-kira 32.7 juta penduduk dan sembilan juta kediaman.

Ia dijalankan dalam dua fasa dengan yang pertama bermula 7 Julai hingga 30 September depan melalui e-Census, manakala fasa kedua akan bermula 7 hingga 24 Oktober menggunakan kaedah temu ramah secara bersemuka.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!