Ahli politik henti sentimen perkauman, etnik

Wacana siri ke-193 yang membincangkan topik Hari Malaysia, Hanya Sekadar Sambutan di Kumpulan Karangkraf di sini.
Wacana siri ke-193 yang membincangkan topik Hari Malaysia, Hanya Sekadar Sambutan di Kumpulan Karangkraf di sini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin politik perlu berhenti daripada memainkan sentimen perkauman dan etnik demi mendapatkan sokongan bagi mengekalkan kedudukan mereka.

Naib Presiden MIC, Datuk Sivarraajh Chandran berkata, ini kerana tindakan itu boleh meruntuhkan usaha untuk membina perpaduan negara ke tahap yang lebih baik pada masa akan datang.

Menurutnya, sebagai ahli politik, mereka seharusnya membawa suara rakyat meliputi semua bangsa dan agama, bukannya kaum dan etnik tertentu sahaja.

"Nasihat saya kepada pemimpin politik dan pemimpin negara supaya janganlah kita memainkan atau menggunakan isu perkauman untuk mendapatkan sokongan.

"Walaupun saya dari MIC (parti India) tapi saya mewakili semua etnik tanpa perbezaan. Itulah yang saya amalkan dan harus dibuat oleh semua pemimpin secara ikhlas.

"Jadi, saya harap ahli politik harus membuang sikap pentingkan diri dengan menggunakan elemen-elemen tidak sihat seperti perkauman bagi memastikan mereka dapat mengekalkan posisi (sebagai ahli politik) demi memastikan pembangunan negara akan terlaksana," katanya pada Wacana siri ke-193 yang membincangkan topik Hari Malaysia, Hanya Sekadar Sambutan di Kumpulan Karangkraf di sini.

Wacana itu turut menampilkan tiga panelis lain iaitu Felo Utama Bersama Institut Kajian Etnik (Kita), Datuk Dr Teo Kok Seong, penyanyi dan pelakon, Nabila Razali dan penyanyi rap dan usahawan, Caprice, manakala Amin Idris sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Sivarraajh berkata, dalam membentuk generasi yang cintakan negara, ibu bapa juga perlu memainkan peranan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, agenda pembangunan negara seharusnya menjadi tanggungjawab bersama bagi memastikan usaha itu mencapai matlamat yang dikehendaki.

"Setiap ibu bapa harus memainkan peranan penting di rumah untuk pastikan agenda pembentukan negara itu terjadi," katanya.

Nabila
Nabila

Selebriti kena tahu sejarah: Nabila

Golongan selebriti turut mempunyai tanggungjawab untuk mengajak masyarakat khususnya golongan muda memahami sejarah negara bagi menambahkan lagi semangat cintakan tanah air.

Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali berkata, perkara itu dapat dilakukan dengan berinteraksi bersama peminat melalui medium media sosial.

"Sebagai selebriti kita kena tahu (sejarah Malaysia) dan kita berperanan sebagai medium untuk menyampaikan maklumat ini kepada anak-anak muda di luar sana.

"Selepas saya ceburi bidang seni barulah saya tahu banyak sebenarnya cara untuk semarakkan semangat patriotik. Kita boleh lakukan dengan menyanyi lagu dan sebagainya," katanya.

Ditanya sama ada faktor hiburan yang melalaikan sehingga membuatkan golongan muda lupa dengan sejarah dan tarikh penting negara, Nabila berkata, kenyataan itu dilihat tidak tepat.

Katanya, perkara itu sebenarnya bergantung kepada individu dan bukannya dipengaruhi dengan latar belakang seseorang itu yang terlibat dalam seni hiburan semata-mata.

"Pada pendapat saya sendiri, sebagai seorang selebriti, kita tidak boleh hendak salahkan hiburan semata-mata.

"Ia bergantung kepada individu itu sendiri. Macam kita sebagai rakyat Malaysia, kita sendiri kena ada sifat untuk ambil tahu (sejarah dan tarikh penting negara).

"Tapi kalau untuk menyalahkan hiburan sebab kita tidak ingat Rukun Negara dan sebagainya, bagi saya itu (hiburan jadi faktor lupa tarikh penting negara) satu kenyataan kurang tepat," katanya.