AFC tiada kompromi lagi isu penswastaan kelab

Windsor Paul John
Windsor Paul John
A
A
A

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) tidak akan berkompromi lagi dengan mana-mana pasukan atau kelab Liga Malaysia (Liga-M) yang masih gagal melengkapkan proses penswastaan kelab merangkumi pemisahan dari Persatuan Bola Sepak (FA) ke Kelab Bola Sepak (FC) selepas 30 September depan.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata, pihak berpendirian tegas dalam isu ini selepas memberikan tempoh masa yang lama untuk pasukan dan kelab menyelesaikan proses penswastaan masing-masing.

Justeru menurutnya, pasukan dan kelab tidak lagi mempunyai alasan untuk mengatakan bahawa mereka masih belum melengkapkan proses penswastaan berkenaan selepas ini.

“Tidak. Kita tidak akan berkompromi lagi dalam hal ini. Rasanya sudah banyak kali kita berikan kelonggaran, tetapi masih ada yang belum lengkapkan proses yang cukup penting ini.

“Sejak 2017, kita sudah berikan lanjutan tiga tahun kepada FAM untuk melengkapkan proses penswastaan ini, bagaimanapun masih ada pasukan atau kelab yang belum berbuat demikian,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Windsor berkata, pihaknya bagaimanapun akan memantau permohonan lanjutan bagi dokumentasi pelesenan sebagaimana rayuan yang dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.

Katanya, berdasarkan rayuan berkenaan pihaknya juga akan melihat dari segi justifikasi yang munasabah.

“Kalau ada rayuan kita akan tengoklah untuk panjangkan sedikit lagi tempoh penghantaran dokumentasi pelesenan berkenaan dan kita juga akan tengok rayuan dan juga apa-apa justifikasi yang munasabah.

Artikel Berkaitan:

“Apa pun setakat hari ini (semalam) kita masih belum terima apa-apa laporan daripada FAM berhubung masalah ini,” katanya.