X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan PN komited pastikan Sabah, Sarawak terpelihara: PM

Muhyiddin berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia di Stadium Tertutup Sibu hari ini. - Foto Bernama
A
A

SIBU - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa komited untuk memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah terpelihara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bekata, mesyuarat jemaah menteri pada 9 September lalu bersetuju untuk menubuhkan Majlis Khas mengenai MA63 yang akan dipengerusikan beliau sendiri.

"Majlis Khas ini turut dianggotai Ketua Menteri Sabah serta Sarawak, manakala menteri-menteri Persekutuan dan ahli-ahli lain akan dilantik mengikut kesesuaian, kelayakan dan bidang kepakaran masing-masing.

“Isu yang berkait dengan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 antaranya kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu, hak negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), keselamatan negeri dan pendidikan akan dibincangkan melalui penubuhan majlis ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia 2020 di Stadium Tertutup Sibu di sini malam ini.

Menurutnya, penubuhan Majlis Khas itu diharap dapat merungkaikan beberapa isu masih tertangguh berhubung hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat MA63 dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan Persekutuan sentiasa memberikan keutamaan kepada pembangunan Sabah dan Sarawak dengan usaha terbaharu adalah pelan infrastrukur digital iaitu Jalinan Digital Negara (Jendela) yang akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12.

“Inisiatif ini selaras dengan komitmen kerajaan Perikatan Nasional untuk memastikan tiada warganegara yang ketinggalan dalam mengecapi nikmat pembangunan termasuk penduduk di Sabah dan Sarawak yang kita ketahui sebahagian besarnya agak ketinggalan dari segi memperoleh akses kepada capaian internet berkelajuan tinggi,” katanya.

Para pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menaikkan Jalur Gemilang pada Majlis Sambutan Hari Malaysia di Stadium Tertutup Sibu hari ini.
 - Foto Bernama
Para pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menaikkan Jalur Gemilang pada Majlis Sambutan Hari Malaysia di Stadium Tertutup Sibu hari ini.
 - Foto Bernama

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan soal kedaulatan wilayah juga akan terus dipertahankan tanpa sebarang kompromi.

“Saya ingin tegaskan bahawa Sabah dan Sarawak akan terus kekal berada dalam Malaysia. Kerajaan Persekutuan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan kedaulatan negara kita.

“Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara dan agensi-agensi penguatkuasaan memikul tanggungjawab bersama untuk terus mempertingkatkan kawalan sempadan negara bagi mengekang sebarang cubaan untuk menceroboh dan mengancam kedaulatan negara termasuk melaksanakan Operasi Benteng dan meningkatkan penguatkuasaan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom),” katanya.

Sementara itu, katanya, ekonomi negara dijangka pulih pada tahun hadapan dengan unjuran pertumbuhan pada kadar 5.5 peratus sehingga lapan peratus yang dipacu pertumbuhan ekonomi global dan domestik secara berterusan.

"Keyakinan ini adalah berteraskan kepada inisiatif yang diambil selepas Bank Negara menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar negatif 3.4 hingga negatif 5.5 peratus berikutan impak koronavirus (Covid-19) yang turut melanda ekonomi di seluruh dunia.

“Saya yakin usaha pemulihan ekonomi akan dipertingkatkan melalui Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Parlimen pada November nanti, Insya-ALLAH,” katanya. - Bernama

Para pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menaikkan Jalur Gemilang pada Majlis Sambutan Hari Malaysia di Stadium Tertutup Sibu hari ini.
 - Foto Bernama
Para pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menaikkan Jalur Gemilang pada Majlis Sambutan Hari Malaysia di Stadium Tertutup Sibu hari ini.
 - Foto Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!