Kepelbagaian budaya faktor kekuatan rakyat: Saifuddin

Rakyat Malaysia digesa menjadikan kekayaan budaya dalam negara sebagai satu faktor kekuatan dan bukan melihat kepelbagaiannya sebagai satu punca kelemahan. Gambar hiasan. - Foto 123RF
Rakyat Malaysia digesa menjadikan kekayaan budaya dalam negara sebagai satu faktor kekuatan dan bukan melihat kepelbagaiannya sebagai satu punca kelemahan. Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SIBU - Rakyat Malaysia digesa menjadikan kekayaan budaya dalam negara sebagai satu faktor kekuatan dan bukan melihat kepelbagaiannya sebagai satu punca kelemahan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia seharusnya menjadi kekuatan bagi rakyat yang hidup secara aman dan bersama berkhidmat kepada negara.

“Hari Malaysia amat bermakna bagi kita. Ia adalah simbol kedaulatan, keharmonian, dan kesejahteraan sebuah negara yang kita bina bersama sebagai rakyat pelbagai etnik, bahasa, kebudayaan dan agama, majoriti atau minoriti, sama ada di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rakaman video ucapan aluannya yang dipertontonkan di majlis sambutan Hari Malaysia di Stadium Tertutup Sibu di sini hari ini.

Menurutnya yang juga pengerusi bersama jawatankuasa penganjur sambutan, patriotisme iaitu rasa cinta kepada negara yang berkekalan menuntut fokus berbeza disebabkan keadaan berbeza.

“Patriot baharu dilahirkan, iaitu petugas barisan hadapan yang setia dan sanggup berkorban. Mereka yang bekerja keras dengan kerajaan yang amat prihatin dalam menjaga kesejahteraan, kesihatan dan menjana semula ekonomi negara,” katanya.

"Walaupun tiada acara besar untuk memperingati ulang tahun penubuhan Malaysia pada tahun 1963, saya bangga melihat ramai rakyat menyambutnya dengan cara sendiri dan berkongsi di media sosial. Terus berkongsi saat-saat indah menggunakan #momennegaraku," katanya.

Menteri Utiliti Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom yang juga pengerusi penganjur bersama turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana memberi kepercayaan kepada kerajaan negeri menganjurkan sambutan Hari Malaysia untuk kali kedua berturut-turut.

Artikel Berkaitan:

"Sambutan tahun ini asambukan terpahat dalam lipatan sejarah sebagai sambutan julung kalinya diadakan dalam persekitaran norma baharu.

"Seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama diminta untuk terus bekerjasama menjadikan negara tercinta ini sebagai sebuah negara maju di masa hadapan," katanya dalam petikan video sama.

Sambutan Hari Malaysia dengan tema Malaysia Prihatin berlangsung dalam suasana negara sedang bergelut memerangi pandemik koronavirus (Covid-19). - Bernama