Kalau dah suka, jangan tunggu sampai dikebas orang

No Image Caption
A
A
A

KALAU tak silap Merak Jalanan sudah dua minggu aktres Mira Filzah selamat bernikah. Tapi cerita perkahwinan Mira Filzah dengan lelaki idamannya, Wan Emir Astar Wan Mohamad Khair-il Anuar masih hangat dibualkan netizen.

Cuma apa yang Merak Jalanan ingin kongsikan di sini, alkisahnya lelaki-lelaki di luar sana yang dikatakan mula tak lalu makan dan frust menonggeng gara-gara Mira Filzah sudah jadi isteri orang.

Bagi kaum Adam yang dalam kelompok orang-orang kecewa ini, mereka menganggap Wan Emir bertuah kerana memperisterikan Mira Filzah. Bak kata seorang rakan, Mira Filzah ada pakej lengkap untuk dijadikan ‘suri hati kanda’.

Kata seorang rakan Merak Jalanan yang lain, Wan Emir kini sudah boleh memenangi anugerah The Best Man Win. Katanya lagi, macam juga dalam urusan bisnes, siapa pantas rebut peluang, maka dia yang menang.

Terdiam seketika Merak Jalanan bilamana rakan-rakan seangkatan begitu rancak bercerita soal ‘mahligai impian’ Mira Filzah. Hanya bermula cerita politik, sukan, isu semasa, terus masuk kisah rumah tangga orang lain.

Mungkin itu penangan berita perkahwinan Mira Filzah dan Wan Emir sejak dua minggu lalu. Sama jugalah dengan berita perkahwinan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau terkenal dengan panggilan Datuk K suatu ketika dahulu.

Jadi satu pengajaran kepada orang lelaki terutama yang masih bujang, kalau dah suka, jangan takut-takut nak ‘mengayat’. Itu juga yang selalu Merak Jalanan pesan kepada beberapa orang rakan yang sampai sekarang masih membujang.

Entah apa lagi yang mereka tunggu, umur makin lanjut mungkin ilham belum sampai lagi rasanya. Tapi kalau ‘belum bersedia’ atau ‘suka hidup bersendiri’ jadi alasan, itu terpulang hak masing-masing.

Artikel Berkaitan: