Alkohol bukan arak

rootbeer
rootbeer
A
A
A

BEER adalah arak tetapi A&W Root Beer bukan arak! Bezanya bukan sekadar beer memabukkan dan Root Beer tidak memabukkan.

Bezanya juga dari segi bahasa. Beer ialah perkataan umum yang merujuk kepada minuman yang memabukkan. Tetapi Root Beer ialah istilah khas tentang sejenis minuman di Restoran A&W.

Di sini kita lihat bagaimana perkataan beer memiliki dua makna yang jauh berbeza. Satu digunakan sebagai perkataan umum dan satu lagi digunakan sebagai istilah. Begitu juga perkataan alkohol. Alkohol mempunyai dua makna yang jauh berbeza. Kalau ia digunakan sebagai perkataan umum dalam perbualan biasa, memang ia merujuk kepada minuman yang memabukkan.

Kalau seseorang berkata bahawa dia mahu minum alkohol di kelab malam, maknanya di sini memang merujuk kepada minuman yang memabukkan.

Tetapi kalau seorang ahli kimia ingin membuat penyelidikan saintifik terhadap minuman tertentu, misalnya tentang berapa peratusan alkohol terkandung di dalamnya, maka alkohol di sini tidak merujuk kepada minuman yang memabukkan.

Ia hanya merupakan satu unsur saintifik. Alkohol di sini pula mempunyai banyak jenis seperti metanol, etanol, propanol dan butanol.

Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, tapai, belacan, cencalok dan budu mengandungi etanol. Maknanya semua makanan ini mengandungi alkohol!

Ibn Khaldun dalam Kitab Muqaddimah berkata, penuntut ilmu perlu belajar tentang istilah-istilah ilmiah sebanyak yang mungkin.

Artikel Berkaitan:

Ini adalah kerana Ibn Khaldun melihat ilmu sebagai idrak (tanggapan) dan sinaa’ah (hasil ciptaan para ilmuwan).

Ilmu-ilmu yang diajar di sekolah dan universiti adalah ilmu sebagai sinaa’ah yang merupakan hasil ciptaan ilmuwan, bukan sekadar idrak (tanggapan).

Ramai pelajar ingat bahawa cara mendapat ilmu adalah dengan sekadar berfikir. Ini sekadar idrak. Orang awam yang tidak pernah pergi sekolah pun berfikir atau beridrak.

Tetapi mahasiswa perlu mencari ilmu sebagai sinaa’ah yang mewajibkannya untuk mengenali beribu-ribu istilah yang dipakai dalam sesuatu bidang.

Kalau dia tak kenal istilah-istilah ini, dia bukan ilmuwan dalam erti kata yang sebenar kerana dia tak kenal wacana (discourse) falsafah di sebalik sepatah istilah walaupun dia berfikir selalu.

Penggunaan

Itulah penting untuk belajar subjek falsafah yang menjadi akar segala ilmu sains tulen dan sains kemanusiaan, sosial.

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik telah mengorak langkah yang tepat sekali apabila mewajibkan subjek Falsafah dan Isu Semasa di semua universiti.

Contohnya, perkataan emosi yang wujud dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita.

Ada yang kritik saya bila saya kata perkataan itu adalah hasil sekularisasi pendidikan. Takkanlah manusia tak beremosi!

Sebenarnya kalau kita memahami emosi sebagai perkataan umum merujuk kepada perasaan, memang betul penggunaannya.

Tetapi emosi juga diperkenalkan sebagai satu istilah psikologi yang diwarnai oleh falsafah sekularisme.

Apabila kita guna perkataan emosi dalam kenyataan ilmiah seperti Falsafah Pendidikan Kebangsaan, maka ia perlu difahami sebagai istilah, bukan perkataan umum harian.

Profesor Thomas Dixon dalam bukunya From Passions to Emotions: The Creation of a Secular Psychological Category telah mengkaji sejarah penggunaan istilah emosi dan mendapati bahawa ia adalah istilah baharu yang diperkenalkan dalam falsafah psikologi pada zaman moden untuk mensekularisasikan bidang psikologi dan pendidikan.

Isunya mengapa kita guna perkataan emosi dan tidak guna perkataan perasaan sebagai istilah? Adakah kita terlalu taksub dengan istilah, wacana dan falsafah Inggeris?

* Xifu Naser ialah Tokoh Pendakwah Perak