Kemelut politik pelabuhan Beirut

Gudang di pelabuhan Beirut yang menyimpan sejumlah besar ammonium nitrat meletup sehingga mengorbangkan lebih 190 orang dan ribuan lagi cedera pada bulan Ogos lalu. - Foto AFP
Gudang di pelabuhan Beirut yang menyimpan sejumlah besar ammonium nitrat meletup sehingga mengorbangkan lebih 190 orang dan ribuan lagi cedera pada bulan Ogos lalu. - Foto AFP
A
A
A

LETUPAN besar di pelabuhan Beirut pada Ogos lalu mendedahkan sebuah institusi yang dicemari dengan rasuah apabila para pengkritik menyatakan ia merupakan sebuah dunia kecil di negara Lubnan yang korup.

Penyeludupan, mengelakkan cukai kastam dan rasuah berleluasa merupakan pencabulan yang biasa berlaku di pelabuhan tersebut.

Ia sama seperti semua institusi awam yang dicemari dengan satu perbuatan rasuah yang menjadi karakteristik Lubnan di bawah pemerintahan golongan elit.

Pergerakan Hezbollah yang berfahaman Syiah dan disokong oleh Iran didakwa mempunyai 'pas percuma' di pelabuhan tersebut kerana ia mempunyai hubungan dengan beberapa pegawai pelabuhan dan kastam, kata seorang bekas pegawai kehakiman.

Bagaimanapun, Hezbollah tidak keseorangan dalam isu itu.

Parti politik utama Lubnan termasuk Pergerakan Patriotik Percuma (FPM) yang diasaskan oleh Presiden Michel Aoun, speaker parlimen daripada Pergerakan Amal, Nabih Berri dan Pergerakan Masa Depan yang diketuai bekas perdana menteri, Saad Hariri semua berkongsi perkara yang sama, menurut pakar-pakar dan pegawai keselamatan.

"Pelabuhan itu merupakan salah satu institusi paling korup, baik di dalam pengurusan dan perkhidmatan kastam," kata Mohammad Chamseddine dari firma perunding penyelidikan yang beribu pejabat di Beirut, Information International.

Selepas Perang Saudara Lubnan pada tahun 1975-1990, pihak pengurusan pelabuhan itu diserahkan kepada suruhanjaya awam sementara yang kemudian tidak pernah digantikan.

Artikel Berkaitan:

Sehingga ke hari ini, ia mengendalikan pelabuhan laut itu seperti satu perniagaan peribadi, kata Chamseddine.

Ketika ia merupakan amalan biasa di negara tersebut, parti-parti politik Lubnan berkongsi dengan suruhanjaya itu yang mengandungi tujuh kerusi itu dalam kalangan mereka sejajar dengan perjanjian peraturan perkongsian kuasa yang meluas.

Hubungan secara langsung elit politik dan anggota-anggota suruhanjaya tersebut telah membenarkan pelabuhan berkenaan diuruskan dengan cara korup sama seperti negara tersebut.

Gambar fail menunjukkan sejumlah penduduk Lubnan mengadakan tunjuk perasaan berhubung letupan besar yang berlaku di pelabuhan Beirut. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan sejumlah penduduk Lubnan mengadakan tunjuk perasaan berhubung letupan besar yang berlaku di pelabuhan Beirut. - Foto AFP

"Tidak ada pengawasan kerajaan yang cekap sama ada mengenai pendapatan atau perbelanjaan," kata Chamseddine kepada AFP.

"Setiap orang mendapat untung kerana sistem perkongsian kerosakan kerajaan juga diterapkan di pelabuhan itu," ujarnya lagi.

Pihak pengurusan pelabuhan telah meningkatkan pengawalan selepas letupan besar berlaku pada 4 Ogos lalu yang membunuh lebih 180 orang, ribuan cedera dan memusnahkan sebahagian kawasan ibu kota negara itu menyebabkan ia menjadi malapetaka yang membawa maut pada waktu aman di Lubnan.

Penduduk negara itu di luar negara dan di dalam negara berasa marah apabila mendapat maklumat bahawa pihak berkuasa telah mengetahui selama bertahun-tahun simpanan besar ammonium nitrat di pelabuhan tersebut yang kemudiannya meletup.

Sebulan kemudian, masih tidak jelas apakah yang menyebabkan letupan awal tersebut yang mengakibatkan bahan baja itu terbakar.

Namun, siasatan yang sedang berjalan menyebabkan beberapa penangkapan ketua suruhanjaya pelabuhan dan pengarah kastamnya.

Ketua suruhanjaya itu, Hassan Koraytem mempunyai kaitan dengan Pergerakan Masa Depan manakala ketua kastam Badri Daher pula bersekutu dengan FPM.

Pergerakan Hezbollah pula yang sebelum ini dianggap sebagai sebuah kumpulan pengganas oleh Amerika Syarikat (AS) didakwa menggunakan pengaruhnya ke atas pelabuhan tersebut untuk membantu kapal-kapalnya dan menerima kargo-kargo, kata pelbagai sumber kepada AFP.

Seorang hakim yang pernah mengetuai Majlis Syura Negara iaitu sebuah badan kehakiman kerajaan, Shukri Sader berkata, adalah sesuatu yang diketahui bahawa terdapat barang-barang milik kumpulan Penentangan (Hezbollah) yang melalui pelabuhan dan lapangan terbang.

Hezbollah mendapat laluan percuma untuk memindahkan barang-barang, berikutan hubungannnya dengan para pegawai kastam dan pekerja pelabuhan, katanya.

Seorang pegawai keselamatan kumpulan itu, Wafiq Safa yang pernah berkhidmat dengan pergerakan itu dalam perbincangan dengan pasukan keselamatan Lubnan telah dikenakan sekatan oleh Perbendaharaan AS kerana dia menggunakan rangkaian tersebut untuk memudahkan penyeludupan barangan.

"Safa telah mengeksploitasi pelabuhan Lubnan dan lintasan sempadan untuk menyeludup barang-barang seludup termasuk dadah yang diharamkan serta senjata," kata Perbendaharaan AS ketika itu.

Namun, ketua Hezbollah, Hassan Nasrallah menafikan penglibatan terhadap sebarang kegiatan haram di pelabuhan tersebut.

Sementara itu, Sader berkata, rasuah di institusi pelabuhan adalah berleluasa sehinggakan tidak perlu untuk dibuktikan lagi.

Satu laporan baharu-baru ini oleh sebuah agensi keselamatan yang dilihat AFP menamakan lima pemeriksa kastam yang menyatakan mereka tidak boleh ditukarkan kerana mempunyai hubungan politik.

Setiap daripada mereka itu sama ada telah memperoleh sokongan daripada FPM, Pergerakan Masa Depan, Pergerakan Amal dan Hezbollah atau Pasukan Samir Geagea Lebanon, kata laporan tersebut.

Dibina pada tahun 1894, pelabuhan Beirut merupakan pangkalan yang penting untuk negara tersebut yang bergantung kepada barang-barang import termasuk 85 peratus daripada keperluan makanannya.

Sehingga 70 peratus barangan import Lubnan singgah di pelabuhan itu sebelum letupan besar tersebut berlaku tetapi hanya sejumlah kecil pendapatannya sampai kepada tabung kerajaan, kata Chamseddine.

"Bakinya sepatutnya pergi kepada gaji dan pembangunan pelabuhan, tetapi kami tidak mengetahui di mana ia akan berakhir," tambahnya.

Jika ia dikutip, wang tersebut mungkin digunakan untuk mengimbangi hutang awamnya yang besar.

Pergerakan Hezbollah didakwa mempunyai hubungan dengan para pegawai pelabuhan Beirut. - Foto AFP
Pergerakan Hezbollah didakwa mempunyai hubungan dengan para pegawai pelabuhan Beirut. - Foto AFP

Penipuan itu dipermudahkan oleh para pegawai yang mempunyai kesetiaan kepada parti politik.

Ia juga memberi keuntungan kepada ahli perniagaan dan syarikat yang bersekutu dengan parti-parti politik.

Chamseddine berkata, ahli-ahli perniagaan bergabung dengan parti-parti mengawal barang-barang seludup termasuk yang melalui persatuan-persatuan kebajikan dikecualikan daripada membayar yuran kastam.

"Setiap orang tahu apa yang berlaku (di pelabuhan itu)," ujarnya.

Menurut laporan agensi keselamatan, pekerja-pekerja pelabuhan pada semua peringkat termasuk pegawai keselamatan kerap menerima rasuah untuk mempercepatkan penghantaran, memotong yuran kastam atau mereka berpura-pura tidak melihatnya.

Membenarkan barang-barang mewah tiruan dan mengabaikan kompartmen yang tersembunyi di dalam kontena, semuanya mempunyai harga yang perlu dibayar.

Laporan tersebut menyatakan contoh rasuah bernilai 200,000 pound Lebanon (RM543.91) dibayar kepada para pegawai yang mengawasi pintu masuk ke pelabuhan itu bagi mempercepatkan pelepasan kemasukan sebuah kereta import terpakai.

Para pegawai kastam juga mengambil rasuah untuk menurunkan nilai kenderaan supaya duti kastam dapat dipotong, kata laporan itu.

Laporan itu menyatakan, apabila kenderaan itu mengandungi barang-barang haram seperti dadah dan senjata api, para pegawai dirasuah untuk mengehadkan pemeriksaan secara manual bagi memastikan ia tidak ditemui, tambah laporan keselamatan tersebut.

Namun, bagi tempoh lebih setahun, pencarian secara manual telah menjadi amalan kerana satu-satunya alat pengimbas di pelabuhan tersebut tidak lagi boleh digunakan.

"Alat pengimbas itu sudah ditamatkan perkhidmatan sejak April 2019 kerana mengalami masalah teknikal," kata seorang pegawai kastam yang enggan namanya didedahkan kerana dia tidak sepatutnya bercakap kepada wartawan.

Alat pengimbas itu sudah terlalu tua dan kos untuk membaikinya dan menggantikan peralatannya melebihi daripada nilai asal, katanya kepada AFP.

Ia tidak digantikan berikutan perbalahan berhubung parti mana yang akan mendapat kontrak alat tersebut, ujarnya.

Seorang wartawan siasatan, Riad Kobaissi telah mendokumentasikan urusan dengan pihak berkuasa pelabuhan Lubnan itu.

"Kastam merupakan institusi yang paling korup dan operasi terbesarnya berlaku di pelabuhan," tambahnya kepada AFP.

Penyeludupan, pengambilan rasuah dan menjual barang import dalam lelongan secara tidak jujur merupakan sejumlah pencabulan yang dilakukan oleh pihak berkuasa, ujarnya. - AFP