Jangan sembunyikan pelajar terlibat dadah

Laporan Sinar Harian pada 12 September lalu.
Laporan Sinar Harian pada 12 September lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengurusan sekolah di negeri ini diingatkan supaya tidak menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah membabitkan pelajar mereka daripada pihak bertanggungjawab yang melakukan siasatan.

Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, tindakan itu bagi memudahkan gejala tersebut dibanteras dalam kalangan pelajar dan mengelakkan keadaan bertambah buruk.

"Siasatan ini kita buat secara dalaman, kita pun akan rahsiakan sekolah yang terlibat termasuk tidak diuar-uarkan kepada umum.

"Apa yang penting adalah penyelesaian terhadap masalah ini dan pendekatan diguna lebih kepada mendidik, bukan menghukum," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Pertandingan Blok Tercantik Sempena Kempen Bulan Kemerdekaan ke-63 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara, di sini hari ini.

Mazlan (tengah) menyampaikan replika cek kepada pemenang Pertandingan Blok Tercantik Sempena Kempen Bulan Kẻmerdekaan ke-63 PPR Taman Desa Mutiara, Johor Bahru hari ini.
Mazlan (tengah) menyampaikan replika cek kepada pemenang Pertandingan Blok Tercantik Sempena Kempen Bulan Kẻmerdekaan ke-63 PPR Taman Desa Mutiara, Johor Bahru hari ini.

Mazlan baru-baru ini mendedahkan seramai 177 pelajar sekolah Tingkatan Empat dan Lima dikesan terlibat dengan gejala penagihan dadah di negeri ini menerusi ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap 10,132 pelajar di 280 buah sekolah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

ARTIKEL BERKAITAN: 177 pelajar sekolah menengah di Johor positif dadah

Artikel Berkaitan:

Mazlan berkata, pihaknya berharap gejala penagihan dadah dalam kalangan pelajar dapat dibanteras sepenuhnya di bawah pimpinan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor juga mengalu-alukan siasatan polis dan akan memberi kerjasama penuh berhubung perkara tersebut bagi memastikan gejala penagihan dadah dapat dibanteras keseluruhan rantaiannya.

"Kita alu-alukan siasatan pihak polis dalam kes ini, tiada masalah. Tetapi pendekatan kita (JPN Johor) berbeza dengan polis.

"Kita lebih kepada usaha mendidik, maknanya bila terlibat bukan kita hukum tetapi halang daripada bertambah teruk.

"Perspektif polis berbeza, mereka nak banteras dari mana pembekalan dadah, itu bidang kuasa mereka dan kita tidak halang," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis Johor siasat isu penagihan dadah pelajar sekolah