X

Kindly register in order to view this article
!

Bakal polis positif dadah ditahan

PDRM
A
A

JEMPOL - Seorang lelaki didapati positif dadah ketika hadir melapor diri pada sesi pengambilan konstabel polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam, di sini Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis daerah Jempol, Deputi Superintendan, Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, lelaki berusia 27 tahun itu direman dua hari namun diberi jamin polis semalam.

"Ahad lalu, lebih kurang jam 9.30 pagi, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman telah menjalankan ujian saringan awal urin terhadap 229 lelaki awam yang hadir melapor diri bagi tujuan pengambilan konstabel lelaki.

"Bagaimanapun pada jam 1.50 petang, polis menahan seorang daripadanya yang juga mempunyai kelulusan Diploma Kesihatan Persekitaran kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan juga mendapati suspek mendapatkan bekalan dadah dari Kuala Lumpur.

"Suspek mula terlibat dengan dadah pada bulan Februari lalu dan tidak pernah ditangkap. Dia mendakwa membeli dadah jenis syabu dalam bentuk paket kecil berharga RM30 sepaket.

"Kes seterusnya disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, suspek berasal dari Perak dihantar ke Pulapol Air Hitam pada hari berkenaan oleh keluarganya untuk melapor diri.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!