Orang asli desak Menteri Besar Perak

Rozmi (tengah) bersama penduduk bersama memorandum bantahan projek pembalakan di Hutan Simpan Air Chepam ketika ditemui di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Ipoh semalam.
Rozmi (tengah) bersama penduduk bersama memorandum bantahan projek pembalakan di Hutan Simpan Air Chepam ketika ditemui di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Ipoh semalam.
A
A
A

IPOH - Seramai lima penduduk orang asli sanggup memandu kereta sejauh lebih 100 kilometer dari Gerik ke sini semata-mata untuk menghantar memorandum kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semalam.

Memorandum berkenaan membabitkan bantahan projek pembalakan di Hutan Simpan Air Chepam yang didakwa menjejaskan alam sekitar berhampiran kampung mereka.

Penghulu Adat Kampung Cenawing, Rozmi Palah berkata, mereka mewakili kekecewaan lebih 2,000 penduduk daripada tujuh perkampungan orang asli selepas tular sekeping kertas yang mengandungi kelulusan kawasan hutan terbabit kepada 11 syarikat sejak 2017 dan 2018.

Beliau berkata, amat menyedihkan apabila setiap syarikat itu diberikan kawasan seluas 80 hektar bagi tujuan pengeluaran kayu balak dari kawasan tersebut.

“Berdasarkan surat yang tular itu, jika benar diluluskan jumlah keseluruhan kawasan yang diberikan kepada semua syarikat itu adalah 880 hektar.

“Jika dilaksanakan, kami penduduk dari Kampung Cenawing, Sungai Papan, Sungai Temin, Sungai Rengat, Sungai Leyet, Jelmol dan Cunex pasti akan menerima kesan daripada projek itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini semalam.

Rozmi berkata, penduduk mengharapkan kerajaan negeri segera menghentikan projek itu berikutan hutan merupakan nadi utama kehidupan penduduk orang asli di pedalaman tersebut.

“Hutan itu merupakan mata pencarian kami dengan penanaman petai, durian, rambutan, langsat dan hasil hutan lain yang diusahakan kami sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Kami tidak berpuas hati apabila kerajaan tidak telus terhadap kami berkaitan projek yang nyata memberi kesan terutama sumber air dan makanan. Kami membantah agenda pembangunan itu kerana ia menguntungkan sebelah pihak sahaja,” katanya.

Beliau berkata, memorandum sama turut diserahkan kepada beberapa agensi lain termasuk Jabatan Perhutanan Perak, Jabatan Kemajuan Orang Asli Perak dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Rozmi berkata, kegiatan penebangan pokok hutan akan menimbulkan konflik antara penduduk dan haiwan liar.

“Kami kini berhadapan dengan kehadiran gajah liar yang sering menceroboh kawasan penduduk untuk mencari makanan minggu lalu. Bagi orang luar, insiden gajah menceroboh ini adalah perkara biasa sedangkan kami amat takut.

“Ancaman ini berpunca daripada penebangan pokok hutan secara besar-besaran. Habitat mereka sudah terancam tambahan ada syarikat telah memulakan penebangan sejak empat hari lalu,” katanya.