Calon BN janji rancang pembangunan DUN Kukusan lebih baik

No Image Caption
A
A
A

TAWAU - Calon Barisan Nasional (BN), Chaya Sulaiman berjanji akan merancang pembangunan dan membawa landskap Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan ke arah lebih baik jika diberi mandat menerajui kawasan itu pada Piihan Raya Negeri Sabah, 26 September ini.

Menurutnya, kawasan DUN Kukusan itu masih banyak perlu perancangan antaranya aspek kemudahan asas jalan raya dan perparitan selain mewujudkan keperluan beriadah seperti gelanggang futsal.

"Di samping masalah kampung-kampung yang tidak diwartakan meskipun sudah diduduki sekian lama, perkara itu memerlukan perancangan tersusun untuk menanganinya termasuk keperluan untuk membina Projek Perumahan Rakyat (PPR)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kempen rumah ke rumah bertemu pengundi di Kampung Sentosa.

Katanya, segala perancangan di DUN Kukusan bakal dinikmati semua pihak dan tiada golongan terpinggir jika dirinya, calon nombor 5 terpilih.

"Saya mahu menyelami hati dan perasaan rakyat, apa yang belum ada di kawasan ini saya akan fikirkan yang terbaik dan saya akan dapatkan pandangan kolektif daripada masyarakat DUN Kukusan sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Chaya berkata, beliau dan jentera kini dalam fasa susulan semula pengundi DUN Kukusan.

"Kawasan ini bukan asing dengan saya, saya Ketua Wanita Umno Bahagian Kalabakan dan saya ada hubungan akrab dengan akar umbi.

Artikel Berkaitan:

“Saya sentiasa turun padang sama ada untuk program kecil atau UMNO sendiri," katanya.

Chaya, yang memiliki pengalaman politik selama 31 tahun berharap mencatat sejarah sebagai wakil rakyat wanita pertama bagi DUN Kukusan.

Pada 26 September ini, Chaya, 60, dicabar Rina Jainal daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), Ismail @ Taufik Muin (Parti Cinta Sabah), Lee Boon King (Parti Gagasan Rakyat Sabah), Wong Jin Soon (Parti Harapan Rakyat Sabah), Ismail Idris (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu) dan Rosdiansah Mohd Nor (Parti Perpaduan Rakyat Sabah). - Bernama