Tiga suspek samun, cedera warga emas diberkas

Kereta jenis Perodua Myvi milik suspek yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan samun sekitar Johor Bahru sejak bulan lalu dirampas polis.
Kereta jenis Perodua Myvi milik suspek yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan samun sekitar Johor Bahru sejak bulan lalu dirampas polis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga penjenayah yang mencederakan seorang wanita warga emas sebelum menyamun mangsa di rumahnya di Taman Pelangi pada 22 Ogos lalu diberkas polis dalam tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, dalam kejadian jam 5 pagi itu, wanita berusia 60-an berkenaan tinggal bersendirian telah didatangi tiga lelaki yang memecah masuk rumahnya.

"Tiga lelaki berkenaan mencederakan mangsa menggunakan kerusi besi hingga menyebabkan bengkak di bahagian belakang kepala, lebam di tangan kanan dan mata bengkak sebelum melakukan samun.

"Bagaimanapun tiga suspek berusia lingkungan 24 hingga 39 tahun itu berjaya diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah D9 dalam tiga serbuan berasingan kelmarin di sekitar bandar raya ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan berkenaan, polis merampas empat unit telefon bimbit, kunci kereta, surat kontrak jual beli dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi milik suspek yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan samun.

"Hasil soal siasat awal, kesemua suspek mengaku terlibat dalam kejadian pecah rumah dan samun di Taman Pelangi.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, kumpulan terbabit dipercayai baru sebulan terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan samun. Semakan rekod mendapati dua daripada suspek berkenaan mempunyai rekod lampau bagi kes jenayah, dadah dan lain-lain kesalahan jenayah.

Artikel Berkaitan: