Kerajaan sedia bantu keluarga Mowgli Malaysia

Muhammad Syukur (kanan) bersama anggota kesihatan melihat keadaan salah seekor kerbau yang dijangkiti hawar berdarah di kawasan kandang di Kampung Banggol Katong, Serada semalam.
Muhammad Syukur (kanan) bersama anggota kesihatan melihat keadaan salah seekor kerbau yang dijangkiti hawar berdarah di kawasan kandang di Kampung Banggol Katong, Serada semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan akan membantu keluarga Muhammad Syukur Khamis yang kematian 50 ekor kerbau peliharaan mereka mengikut kesesuaian dan keperluan semasa, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim.

Katanya kematian haiwan itu yang dipercayai akibat penyakit hawar berdarah atau Heamoragic Septicaemia adalah satu perkara yang sangat serius dan perlu diberi perhatian segera bagi mengelakkan jangkitan ke kawasan ternakan yang lain.

"Keutamaan sekarang ialah memastikan kerbau ternakan keluarga ini tidak keluar dari kandang dan tidak bercampur dengan haiwan peliharaan penternak lain," katanya kepada pemberita ketika meninjau kandang kerbau milik keluarga remaja yang terkenal dengan gelaran 'Mowgli Malaysia' itu di Kampung Kubang Bujuk di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan melalui Tabung Bencana untuk meringankan urusan keluarga tersebut.

Dalam pada itu, bapa Muhammad Syukur, Khamis Jusoh, 64 berterima kasih kepada dua pemimpin tersebut yang meluangkan masa melihat sendiri situasi terbaharu di kandang miliknya tersebut.

"Kami sekeluarga berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan baki kerbau yang masih ada ... terima kasih kepada semua yang mendoakan dan prihatin dengan kami," katanya yang mengusahakan penternakan kerbau sejak 50 tahun lepas.

Muhammad Syukur mula terkenal apabila gambar-gambar yang menampilkan kemesraannya dengan lebih 100 ekor kerbau peliharaan keluarganya tular, selain gambar tersebut turut tersenarai sebagai antara 20 yang terbaik dunia. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 36 kerbau Mowgli Malaysia mati bergelimpangan

Artikel Berkaitan:

Kerbau Mowgli Malaysia mati kerana hawar berdarah

Lima lagi kerbau Syukur mati, kandang ditutup elak jangkitan wabak