X

Kindly register in order to view this article
!

Pantau Sungai Kim Kim elak pencemaran berulang

Mohamed Khaled memotong kek selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pertubuhan Badan Gabungan NGO Pasir Gudang di Taman Rinting, Pasir Gudang hari ini.
A
A

PASIR GUDANG - Operasi dan pemantauan secara berkala terhadap 274 kilang di sepanjang jajaran Sungai Kim Kim di sini perlu dilakukan berikutan pencemaran udara didakwa masih berlaku di daerah ini.

Pengerusi Sahabat Kanser Pasir Gudang, Zarina Abdullah berkata, pihak berkuasa antaranya Jabatan Alam Sekitar (JAS); Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) harus sentiasa melakukan pemeriksaan.

Menurutnya, pihaknya bimbang sekiranya pemantauan diabaikan atau diambil mudah, pencemaran terbaharu Sungai Kim Kim akan berulang, malah lebih teruk daripada sebelumnya.

"Kita dapati bau bahan kimia masih boleh dihidu pada sebelah pagi terutama di kawasan yang berdekatan industri. Ini perlu diberi perhatian dan tidak harus menunggu sehingga penemuan bahan sisa buangan baharu ditemui.

"Berdasarkan kajian, kesan menghidu bahan kimia akan diketahui dalam tempoh lima atau enam tahun," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Badan Gabungan NGO Pasir Gudang di Taman Rinting di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Yayasan Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga bekas Menteri Besar Johor.

Gelombang pertama pencemaran Sungai Kim Kim berlaku pada 7 Mac tahun lalu apabila pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Tadika Bestari mengalami pening kepala, loya, muntah dan pengsan.

Pada 11 Mac tahun lalu, gelombang kedua berlaku dikesan di dua sekolah tersebut sebelum keesokannya merebak dan keadaan bertambah parah apabila pelajar-pelajar dari sembilan sekolah lain turut mengalami nasib yang sama.

Keadaan tersebut bertambah buruk dan Kementerian Pendidikan pada 13 Mac tahun lalu mengarahkan semua 111 sekolah di daerah ini ditutup diikuti semua institusi pengajian tinggi (IPT).

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, kewujudan NGO wanita diharap boleh menjadi platform untuk menyuarakan isu berkaitan masalah pekerjaan atau pengangguran, kewangan dan kesihatan di daerah ini.

Katanya, Pasir Gudang mempunyai pelbagai cabaran ketika ini dan NGO berkenaan boleh membantu mengikut kemampuan dan fokus masing-masing dalam memastikan masalah rakyat dapat didengari.

"Kira-kira 49 peratus daripada lebih 400,000 penduduk Pasir Gudang ầdalah wanita. Jadi peranan dan kewujudan NGO berteraskan wanita adalah tepat sekali," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!