Saifuddin santuni masyarakat setempat Sibu

Saifuddin Abdullah meluangkan masa bersama Ketua Masyarakat Melayu Sibu Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce (kiri) ketika tinjauan mesra sempena Program Info On Wheels di Bandong Walk hari ini. -Foto Bernama
Saifuddin Abdullah meluangkan masa bersama Ketua Masyarakat Melayu Sibu Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce (kiri) ketika tinjauan mesra sempena Program Info On Wheels di Bandong Walk hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SIBU - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah hari ini meluangkan masa melakukan tinjauan mesra melalui program Info on Wheels untuk bertemu masyarakat setempat bersempena sambutan Hari Malaysia 2020 di Gerai Pit Stop Bandong Walk di sini.

Selain itu, beliau turut berkesempatan bersarapan bersama Ketua Masyarakat Melayu Sibu Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce.

Terdahulu, Saifuddin dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Suriani Ahmad melepaskan 100 peserta kayuhan Hari Malaysia yang berbasikal mengelilingi bandar Sibu.

Saifuddin turut meletakkan Jalur Gemilang di basikal Joni Mohd Daus yang melakukan kayuhan solo dari Kuching-Sibu-Miri bersempena Bulan Kebangsaan atas inisiatif sendiri.

Menteri itu dan rombongannya kemudian melawat Pasar Sibu Jaya, kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar ini, di mana ketibaan mereka disambut Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu Sempurai Petrus Ngelai dan barisan ahli majlis berkenaan.

Selain bertemu peniaga-peniaga kecil yang menjual pelbagai jenis produk kebun dan hutan di situ, Saifuddin turut mengagihkan bendera Jalur Gemilang dan mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada mereka.

Sambutan Hari Malaysia 2020 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tertutup Sibu malam ini dijangka dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta barisan menteri-menteri Kabinet. - Bernama

Artikel Berkaitan: