Pusat hiburan degil beroperasi digempur

Polis menggempur sebuah pusat hiburan di Bangsar Baru, Kuala Lumpur yang didapati beroperasi ketika PKPP.
Polis menggempur sebuah pusat hiburan di Bangsar Baru, Kuala Lumpur yang didapati beroperasi ketika PKPP.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah pusat hiburan di Bangsar Baru, di sini yang masih degil meneruskan operasinya ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) digempur polis dalam serbuan tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan Ops Noda dan Ops Pematuhan PKP pada jam 12.40 tengah malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Menurutnya, seramai lima individu termasuk seorang wanita telah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Semakan mendapati empat daripadanya adalah pelanggan warga India (1), Bangladesh (2) dan Filipina (1).

"Polis telah merampas pelbagai peralatan audio selain resit, komputer riba serta sejumlah wang tunai," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Seramai 137 pengunjung termasuk empat warga asing turut dikenakan kompaun RM1,000 dalam serbuan Ops Noda dan Ops Pematuhan PKP tengah malam tadi.
Seramai 137 pengunjung termasuk empat warga asing turut dikenakan kompaun RM1,000 dalam serbuan Ops Noda dan Ops Pematuhan PKP tengah malam tadi.

Beliau berkata, selain itu, seramai 137 pengunjung termasuk empat warga asing turut dikenakan kompaun RM1,000.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992 dan Peraturan 3 Peraturan-peraturan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit (langkah-langkah di jalan kawasan tempatan jangkitan)(No. 7)(2020).

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan, lesen premis hiburan seperti kelab malam dan pub akan ditarik jika dikesan masih beroperasi sepanjang tempoh PKPP.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah diberi arahan untuk menarik semula lesen premis terbabit, sekali gus menghentikan operasi mereka untuk selama-lamanya jika masih berdegil.