Projek tebatan banjir Sungai Rampaian tetap dilaksana

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan akan melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Rampayan bagi mengatasi masalah banjir di Manggatal serta kawasan sekitarnya.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, berdasarkan rekod kementeriannya, projek bernilai RM36 juta diluluskan kerajaan terdahulu itu tidak pernah ditarik balik meskipun berlaku perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya berjanji akan memastikan projek ini dapat dilaksanakan untuk memastikan masalah banjir di kawasan Manggatal dan sekitarnya dapat diselesaikan,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan calon Barisan Nasional (BN) bersama rakyat di Inanam hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, demikian ketika menjawab soalan dan rungutan penduduk mengenai masalah itu yang disampaikan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan.

Hadir sama, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga calon BN di DUN Lamag, dan Datuk Jumat Idris calon BN bagi DUN Darau.

Dalam pada itu, menurutnya, PAS Sabah menyiapkan jentera untuk membantu calon BN dan Perikatan Nasional semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

“Semalam saya berjumpa dengan 500 (petugas) jentera parti PAS di seluruh Sabah dan hari ini mereka balik ke kawasan masing-masing untuk membantu kempen calon parti sekutu yang bertanding di situ.

“Selain itu, lebih 20,000 ahli PAS yang ada di Sabah berjanji akan mengundi calon parti sekutu. Matlamat kita sama dan walaupun tiada calon PAS bertanding dalam PRN Sabah kita beri sokongan penuh kepada parti sekutu kita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Bung Moktar pula berkata, semangat dan momentum jentera parti semakin terserlah selepas lima hari berkempen.

“Setiap hari saya akan memantau dan meminta laporan mengenai perjalanan kempen jentera parti di seluruh Sabah dan saya berpuas hati dengan perkembangan positif dilaporkan,” katanya.

"Saya berterima kasih dan berpuas hati dengan sokongan serta semangat ditunjukkan parti sekutu ketika membantu berkempen di setiap kawasan DUN ditandingi BN. - Bernama