FAM bakal umum pengganti De Roo dalam tempoh terdekat

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka menamakan Pengarah Teknikal badan induk itu yang baharu dalam tempoh terdekat susulan keputusan Peter De Roo melepaskan jawatan berkenaan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, badan induk itu masih meneliti kriteria calon yang sesuai, walaupun Ketua Unit Pembangunan Belia FAM, Datuk Ong Kim Swee, yang merupakan penolong kepada De Roo, dikatakan menjadi pilihan utama untuk mengisi jawatan tersebut.

Stuart menegaskan calon yang bakal dilantik mestilah meneruskan program pembangunan yang dirancang FAM, namun masih boleh menyumbang idea bagi memperkasakan program bola sepak di peringkat akar umbi.

“Mungkin sebelum akhir September atau awal Oktober, kita akan umumkan Pengarah Teknikal FAM yang baharu.

“Bagi pihak FAM, kita perlu mengambil masa untuk meneliti calon yang sesuai di peringkat Jawatankuasa Teknikal, sebelum nama calon berkenaan dibincangkan pada mesyuarat exco FAM untuk proses kelulusan,” katanya hari ini.

Baru-baru ini, De Roo memaklumkan akan melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 2017 itu, namun tidak mendedahkan punca beliau mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak bagi jawatan yang tamat pada penghujung 2020 tersebut.

De Roo yang berasal dari Belanda, menjadi watak penting dalam membangunkan DNA bola sepak negara yang baharu sejak dilantik sebagai Pengarah Teknikal FAM pada 2017. - Bernama

Artikel Berkaitan: