26,000 produk tempatan dijual di Shopee

Ian Ho
Ian Ho
A
A
A

SELAIN mementingkan aspek kualiti produk, pemasaran melalui dalam talian antara aspek yang perlu diberi perhatian oleh jenama tempatan pada masa kini.

Menariknya, permintaan tinggi untuk produk buatan Malaysia bukan sahaja di dalam negara bahkan di luar negara menyebabkan Shopee tidak teragak-agak untuk mencipta laman mikro khas produk buatan Malaysia.

Menurut Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, laman mikro itu adalah hasil kerjasama Shopee bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).

“Produk buatan Malaysia dan produk halal buatan Malaysia sangat popular di Shopee dan ketika kami menjalankan KBBM buat kali pertama pada tahun 2019, permintaan untuk produk buatan tempatan meningkat sebanyak 330 peratus,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Ian, hasil memberangsangkan itu menarik banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk mula menjual di Shopee.

No Image Caption

“Kami hanya mempunyai 2,300 produk dalam kempen tersebut tahun lalu tetapi tahun ini kami mempunyai 26,000 produk tempatan di laman mikro KBBM Shopee.

“Untuk membantu memberi lebih banyak pendedahan kepada penjual tempatan, kami memaparkan barangan mereka setiap hari di portal dalam aplikasi ‘Buy Malaysia’ yang dapat diakses dengan mudah melalui aplikasi atau laman web melalui butang yang mempunyai imej Jalur Gemilang,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Ian berkata, pihaknya turut memberi potongan harga dan baucar penghantaran percuma yang menarik kepada mereka yang memilih untuk membeli barangan tempatan.

Ditanya tentang kualiti dan keselamatan barangan buatan Malaysia yang dijual di platform e-dagang terkemuka itu, Ian menyatakan Shopee bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk mengenal pasti dan mengesahkan produk yang dibuat di Malaysia.

“Untuk sebuah produk dianggap sebagai buatan Malaysia, produk tersebut mesti berjenama Malaysia dan syarikat harus berdaftar di Malaysia.

“Selain itu, produk harus dihasilkan di Malaysia dan 51 peratus daripada bahan-bahan yang digunakan untuk pengeluaran mesti daripada sumber tempatan,” kata beliau sambil menambah khusus untuk produk elektrik Malaysia, Shopee hanya mempromosikan jenama yang diperakui SIRIM seperti Khind, Pensonic dan Selamat.

Menurut Ian, sempena Hari Malaysia Shopee turut mengadakan jualan mempromosikan produk buatan Malaysia dengan tawaran diskaun sehingga 90 peratus selain baucar-baucar menarik.