Jawatan Ketua Menteri Sabah ditentukan selepas keputusan PRN

Muhyiddin (tengah) ketika memberi sokongan kepada Hajiji (dua dari kanan) pada proses penamaan calon sempena PRN Sabah di pekarangan Pejabat Parti Bersatu Tuaran, Sabah baru-baru ini.- Foto- Bernama
Muhyiddin (tengah) ketika memberi sokongan kepada Hajiji (dua dari kanan) pada proses penamaan calon sempena PRN Sabah di pekarangan Pejabat Parti Bersatu Tuaran, Sabah baru-baru ini.- Foto- Bernama
A
A
A

PASIR GUDANG - Keputusan wakil daripada parti mana akan menjadi Ketua Menteri Sabah ditentukan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) tersebut pada bulan depan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tiada kata putus atau penetapan secara rasmi berkenaan jawatan tersebut ketika ini.

"Perkara ini (pelantikan jawatan Ketua Menteri Sabah daripada wakil Bersatu) hanya satu cadangan dan belum tentu jadi kenyataan.

"Terlalu awal untuk kita katakan perkara ini dan kita (Perikatan Nasional) masih belum putuskannya lagi," katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Badan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pasir Gudang di Taman Rinting, di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa hari penamaan calon PRN Sabah pada 12 September lalu membayangkan calon Ketua Menteri Sabah adalah daripada parti tersebut.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor adalah nama yang disebut sebagai bakal Ketua Menteri Sabah jika dipersetujui parti lain dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 26 September ini sebagai tarikh PRN Sabah manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 12 September, manakala hari mengundi awal pada 22 September.

Sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada PRN Sabah kali ini.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Khaled berkata, pengumuman jawatan Ketua Menteri Sabah akan disandang calon Bersatu disifatkan satu usaha atau taktik meraih sokongan rakyat dalam PRN Sabah.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Johor itu berkata, jumlah calon dan parti yang banyak bertanding dalam PRN Sabah tidak boleh dijadikan ukuran bahawa demokrasi di negeri itu telah subur.

"Sebaliknya ia boleh memudaratkan demokrasi kerana dilihat banyak yang bertanding mempunyai kepentingan jangka pendek dan agenda tertentu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Hajiji calon Ketua Menteri Sabah: Muhyiddin