‘Finance for Non-Finance’ latihan bangkit semula selepas Covid-19

Ketua Bahagian Pengurusan Strategik HRDF, Kementerian Sumber Manusia, Mohd Nazri Sabri (kiri) menyampaikan sijil kepada peserta kursus ‘Finance for Non-Finance’ sambil diperhatikan oleh Saravanan (dua dari kanan) dan Shuba di Hotel Pullman Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ketua Bahagian Pengurusan Strategik HRDF, Kementerian Sumber Manusia, Mohd Nazri Sabri (kiri) menyampaikan sijil kepada peserta kursus ‘Finance for Non-Finance’ sambil diperhatikan oleh Saravanan (dua dari kanan) dan Shuba di Hotel Pullman Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A

MEMFOKUSKAN bidang-bidang popular seperti kewangan, perniagaan, pemasaran, keselamatan, komunikasi, pertanian dan industri asas tani, SNP Universal Sdn Bhd menawarkan perkhidmatan latihan pembelajaran, kursus profesional dan pengembangan yang berbeza mengikut keperluan peserta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saravanan S Mutheyah berkata, syarikat itu menjalankan latihan pembelajaran secara berperingkat di seluruh negara dan diberikan peluang oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) untuk menganjurkan kursus kewangan bertajuk ‘Finance for Non-Finance’ di bawah tabung inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Menurutnya, PENJANA HRDF merupakan inisiatif program latihan tentang bagaimana menjana peluang pekerjaan dan latihan memainkan peranan penting untuk bangkit semula selepas penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

“Inisiatif ini dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat terdiri daripada pelajar lepasan sekolah, graduan yang masih menganggur, pekerja yang diberhentikan, suri rumah dan pesara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, kumpulan pertama kursus ‘Finance for Non-Finance’ dipimpin oleh perunding bebas yang menyediakan perkhidmatan dalam pengurusan, latihan dan pembangunan serta pelatih yang berpengalaman dalam bidang kewangan, Datin Shuba Kumar.

Saravanan berkata, kursus selama empat hari di Hotel Pullman Bangsar, Kuala Lumpur itu disertai seramai 250 peserta yang mempunyai latar belakang korporat dan profesional seperti doktor, peguam, pegawai kerajaan serta usahawan.

Katanya, selain fasiliti lengkap, pelbagai topik pembelajaran yang menarik disediakan untuk peserta antaranya strategi pembayaran akaun, pengendalian set akaun yang penuh, cukai pendahuluan, percukaian asas, perancangan dan perangkaan.

“Setiap peserta yang menyertai kursus selama empat hari ini akan menerima sijil penyertaan berserta elaun.

Artikel Berkaitan:

“Kursus ini bukan sahaja boleh meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan malah melahirkan modal insan yang serba berpengetahuan dalam bidang kewangan,” katanya.